Untung bersih UOB Malaysia jatuh 16.8 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih UOB Malaysia jatuh 16.8 peratus

Wong Kim Choong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: United Overseas Bank Malaysia Berhad (UOB) menyaksikan keuntungan bersih kumpulan bagi tahun lalu menyusut 16.8 peratus kepada RM1.02 bilion berikutan langkah proaktif bank melakukan peruntukan awalan ke atas aset akibat ketidaktentuan daripada impak pandemik Covid-19.

Namun, bank tiu melaporkan peningkatan jumlah pendapatan operasi 2020 sebanyak 3.7 peratus kepada RM3.21 bilion.

Menurut UOB Malaysia, prestasi itu dipacu pertumbuhan 5.7 peratus dalam
pendapatan faedah bersih kepada RM2.2 bilion, didorong oleh pengurusan penyata imbangan yang proaktif.

“Namun, kenaikan dalam pendapatan faedah bersih sebahagiannya diimbangi oleh kesan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras terendah sebanyak 1.75 peratus antara 22 Januari dan 7 Julai 2020.

“Walaupun pendapatan perdagangan dan pelaburan untuk tahun ini telah meningkat, pendapatan fi yang lebih rendah serta keuntungan dalam pertukaran asing bersih membawa kepada penurunan dalam pendapatan bukan faedah sebanyak 3.5 peratus kepada RM938.8 juta,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wong Kim Choong berkata, prestasi kewangan UOB Malaysia pada 2020 menyaksikan kesan ekonomi yang teruk terjejas disebabkan oleh sekatan perjalanan dan keperluan penjarakan fizikal sebagai langkah untuk membendung penularan pandemik.

Namun demikian jelasnya, UOB Malaysia masih mengekalkan penyata imbangan yang kukuh dan pengurusan sumber yang berkesan, di mana kualiti aset menekankan tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan amalan perniagaan yang mantap.

“Kami juga kekal teguh dalam menyokong pelanggan terjejas dalam menangani cabaran kewangan. Selain langkah-langkah bantuan Covid-19, termasuk moratorium pinjaman untuk pelanggan perniagaan dan individu, bank dengan aktifnya membantu pelanggan menguruskan kesejahteraan kewangan mereka.

“Selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September 2020, kami melanjutkan lagi bantuan pembayaran balik yang disasarkan sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu pelanggan muncul lebih kuat daripada krisis,” ujarnya.

Bank juga terus mengambil langkah berjaga-jaga dalam menguruskan perbelanjaan budi bicaranya. Jumlah perbelanjaan operasi meningkat 1.1 peratus kepada RM1.28 bilion disebabkan oleh pelaburan berterusan dalam infrastruktur teknologi untuk menyokong pertumbuhan perniagaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya