PETALING JAYA : Pendaftaran sukarela pengambilan vaksin AstraZeneca untuk rakyat Malaysia umur bawah 60 tahun kini ditutup selepas lebih sejam tempahan dibuka bermula pukul 12 tengah hari tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam ciapan Twitter sebentar tadi.
“Tempahan janji temu untuk pusingan kedua Inisiatif Pelawaan Pengambilan Vaksin AstraZeneca kini sudah ditutup. Mereka yang layak akan menerima janji temu dalam masa terdekat.
“Terima kasih bagi mereka yang mendaftar untuk membantu negara mencapai imuniti kelompok,” kata ciapan itu hari ini.
Pendaftaran vaksin itu untuk rakyat Malaysia bawah 60 tahun mula dibuka pada pukul 12 tengah hari ini dan mereka perlu melakukannya menerusi https://www.vaksincovid.gov.my/en/register/az/.
Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin memaklumkan kerajaan akan mula membuka slot tempahan kepada individu bawah 60 tahun bagi pusingan kedua vaksin AstraZeneca hari ini bermula jam 12 tengah hari.
Ia melibatkan untuk penduduk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Kuching dan Miri di Sarawak serta Johor.
Sebelum ini, pendaftaran pusingan kedua vaksin itu bermula 23 Mei hanya dibuka kepada golongan lebih 60 tahun.
Seramai 228,347 orang telah mendaftar untuk menerima AstraZeneca.
Sementara itu, Khairy berkata mereka yang diletakkan dalam senarai menunggu sebelum ini akan didaftarkan secara automatik kali ini. – UTUSAN ONLINE










