'Tak pernah saya lihat keadaan lebih kritikal berbanding sekarang' - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

‘Tak pernah saya lihat keadaan lebih kritikal berbanding sekarang’ – Khaled Nordin

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyokong untuk Parlimen kembali bersidang seperti yang dicadangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Sri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, masa depan, keselamatan dan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan bukan sesuatu yang boleh diperjudikan dan ditutup dengan kenyataan yang indah khabar dari rupa.

Menurutnya, kerajaan mesti berhenti berdepan dengan sebarang krisis melalui cara yang boleh meminggirkan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan negara.

“Negara sedang berdepan dengan krisis dan darurat kesihatan yang meruncing, dalam skala yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini. Tidak wujud petanda keadaan akan pulih dalam masa terdekat.

“Parlimen yang sepatutnya menjadi medium perbahasan dan kerjasama bipartisan boleh pula disekat daripada bersidang. Ini adalah keputusan dan perkara yang bukan sahaja mencemarkan amalan demokrasi tetapi meletakkan seluruh negara dalam keadaan berisiko,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu hadir susulan saranan Azalina semalam yang mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana menganggap ia sebagai satu-satunya cara untuk Malaysia melangkah ke hadapan bagi menangani wabak Covid-19.

Kata Ahli Parlimen Pengerang itu, bagi mengelakkan ‘drama yang tidak diingini’, beliau turut mencadangkan agar tiada usul undi tidak percaya dibawa sehingalah pandemik berjaya dikawal dan imuniti berkelompok mencapai tahap 50 peratus.

21 Mei lalu, DAP memberi jaminan tidak akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sekiranya mesyuarat tergempar Parlimen diadakan.

Justeru itu, Mohamed Khaled percaya, semua Ahli Parlimen dapat memberikan komitmen dan saranan yang baik ke arah membantu pengurusan krisis berkenaan secara bersama dengan pendekatan yang lebih baik.

“Pelbagai saranan telah disenaraikan bagi menunjukkan Parlimen boleh dibuka dan bersidang dengan selamat dalam norma baharu.

“Saranan tersebut sehingga satu tahap mencadangkan satu perletakan syarat bahawa usul sokongan ke atas Perdana Menteri tidak akan dibawa dan dibahaskan sekiranya perkara tersebut menjadi kerisauan kerajaan.

“Saya bersetuju dan menyokong pandangan yang Azalina telah kemukakan.

Saya tidak pernah melihat satu keadaan yang lebih terdesak dan kritikal berbanding sekarang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN