PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bekerjasama dengan Persatuan Penerbangan Perniagaan Asia (AsBAA) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan Asia Pasifik untuk perniagaan penerbangan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Sehubungan itu, kedua-dua entiti tersebut memperbaharui Memorandum Persefahaman (MoU), sejajar dengan inisiatif Regenerasi Lapangan Terbang Subang.
Ketua KLIA Aeropolis MAHB, Randhill Singh berkata, Lapangan Terbang Subang menyasarkan untuk menjadi pusat sehenti dalam menyediakan perkhidmatan ‘end-to-end’ yang dilengkapi infrastruktur canggih dengan memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pangkalan keempat terbesar untuk armada jet perniagaan di Asia Pasifik.
Ujarnya, pada masa ini, juara global dalam perniagaan penerbangan beroperasi di lapangan terbang itu dengan kehadiran Dassault Aviation melalui cabang MRO-nya, Execujet MRO Services dan disokong syarikat utama tempatan lain seperti Sapura Aero, Smooth Route, Berjaya Air.
“Lapangan terbang ini terkenal dengan komuniti perniagaan penerbangan yang khusus dalam MRO, operasi berpangkalan tetap, pengurusan pesawat, sokongan darat dan juga perkhidmatan sokongan perjalanan.
“Oleh itu, kerjasama dengan AsBAA akan turut memberi manfaat kepada penyewa dan rakan kongsi kami dengan maklum balas dan kemas kini mengenai perkembangan terkini di rantau Asia Pasifik mengenai sektor perniagaan penerbangan atau industri penerbangan am.
“Kami juga dapat berkomunikasi dan berinteraksi dengan ahli AsBAA di platform sedia untuk memperoleh faedah bersama dan memberikan penyelesaian sinergi yang akan mengukuhkan lagi ekosistem aeroangkasa dan penerbangan di Subang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi MoU itu, AsBAA akan memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam pelbagai bidang selain membantu dalam perancangan lapangan terbang, sementara Malaysia Airports akan melabur untuk mengembangkan infrastruktur dan kapasiti untuk manfaat kepada peserta penerbangan.
Sementara itu, Ketua AsBAA Chapter Malaysia, Aida Ismail memaklumkan, Malaysia Airports adalah komponen penting untuk pengembangan industri.
“Sebagai organisasi yang mewakili pengguna akhir dan penggerak industri, AsBAA komited untuk menyokong Malaysia Airports dan inisiatifnya. Persatuan mengucapkan terima kasih kepada MAHB untuk pembaharuan MoU penting ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











