Polis kawal ketat lorong ‘tikus air’ di empat kampung

Polis kawal ketat lorong ‘tikus air’ di empat kampung

ANGGOTA PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor membuat rondaan berkala bagi memastikan tiada penduduk melakukan aktiviti keluar masuk dari kawasan kepulauan Delta Kelantan di Tumpat, hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga (PPM) Pengkalan Kubor mengawal ketat laluan tikus di empat kampung di kepulauan Delta Kelantan di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam ini hingga 4 Jun depan.  

Pengawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintenden Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, pihaknya melakukan rondaan sekerap mungkin bagi mengelak pergerakan keluar kawasan PKPD.

Katanya, kawalan keselamatan di empat lokaliti terbabit unik dan mencabar kerana terlalu banyak lorong tikus yang berpotensi untuk dibolosi mana-mana pihak iaitu jalan air di seluruh kepulauan tersebut.

“Kita memerlukan kerjasama orang awam, jika melihat sebarang pergerakan mencurigakan dalam kalangan penduduk, mereka boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

“PPM tidak akan berkompromi dengan individu yang dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP). Jadi penduduk di kawasan PKPD tidak perlu mencuba nasib melarikan diri ke daratan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kepulauan Delta Kelantan berada di bawah Mukim Sungai Pinang, di sini dan empat lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Kampung Teluk Renjuna, Kampung Pantai Nik Haji Nik Mat, Kampung Pulau Beluru dan Kampung Pantai Suri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN