MELAKA: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC, di sini mula beroperasi pukul 2 petang tadi dengan pendaftaran 80 pesakit Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, lokasi itu menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah.
“Kini Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) negeri sedang menilai seramai 125 pesakit, namun kita jangkakan seramai 40 hingga 80 pesakit ditempatkan hari ini.
“Baki pesakit lain pula ditempatkan di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang akhbar di PKRC MITC di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut kepada jumlah semasa kes Covid-19, kerajaan negeri menyediakan sebanyak 1,500 katil dan jumlah itu boleh ditingkatkan sehingga 11,800 katil jika keadaan memerlukan.
Tambahnya, pusat kuarantin itu adalah PKRC awam pertama yang hanya menempatkan rakyat Melaka dan pekerja di negeri ini.
“Sebelum ini kita juga mempunyai PKRC lain seperti Pusat Koreksional Jasin, Depot Tahanan Machap Umboo di Alor Gajah, Penjara Sungai Udang dan Sekolah Hendry Gurney di Telok Mas.
“Bagaimanapun, PKRC MITC ini dikhususkan untuk rakyat Melaka dan pekerja warga asing yang berdaftar bekerja di sini,” jelasnya.
Ujarnya, pusat tersebut diuruskan 400 petugas setiap hari termasuk 200 kakitangan perubatan manakala 200 lagi adalah petugas sokongan, keselamatan dan lain lain.
Utusan Malaysia pada 15 Mei lalu melaporkan, kerajaan negeri meminta agar Putrajaya membenarkan pembukaan PKRC awam di Melaka susulan kapasiti pesakit di Hospital Melaka mencecah 65.3 peratus.
Kini, seramai 45 pesakit turut menerima rawatan di Unit rawatan rapi (ICU) dengan 10 daripada mereka menggunakan bantuan alat pernafasan. – UTUSAN ONLINE










