PKRC kelima dibuka di Terengganu - Utusan Malaysia

PKRC kelima dibuka di Terengganu

NOR AZIMI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kelima dibuka di negeri ini bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pusat baharu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus itu menempatkan sebanyak 484 katil.

Katanya, turut mula beroperasi semalam ialah PKRC Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan di Besut dengan 398 katil.

“Kedua-dua pusat baharu itu adalah tambahan kepada tiga yang dibuka sebelum ini sekali gus menjadikan keseluruhan katil di negeri ini sebanyak 1,878.

“PKRC itu ialah di Kem Wawasan Besut di samping Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Chendering masing-masing di Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun Nor Azimi tidak menolak kemungkinan jumlah katil sedia ada di PKRC tidak mencukupi sekiranya kes jangkitan Covid-19 terus meningkat.

“Saya mohon sangat semua rakyat Terengganu teruskan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kendiri supaya katil sedia ada untuk pesakit Covid-19 mencukupi dan mudah-mudahan kita bukan salah seorang daripada penghuninya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN