PKRC Dewan Al Farabi tampung kesesakan pesakit Covid-19

PKRC Dewan Al Farabi tampung kesesakan pesakit Covid-19

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dewan Al Farabi di Jalan Stadium di sini akan dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit berisiko rendah bagi menampung kesesakan di beberapa hospital termasuk Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dewan serba guna itu dipilih sebagai menggantikan Dewan Wawasan di Jitra, Kubang Pasu yang memerlukan tempoh lama untuk diubah suai ekoran keuzuran struktur bangunannya.

“PKRC ini kita perlu sediakan segera kerana kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di HSB sekarang mencecah 92 peratus dan begitu juga di semua hospital rawatan Covid-19 lain. 

“Dewan Al Farabi ini akan menyediakan kapasiti yang dapat menampung seramai 400 pesakit,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, setakat ini terdapat tiga PKRC di seluruh Kedah yang turut mengalami kesesakan pesakit Covid-19 termasuk di PKRC Asrama Jururawat Kuala Nerang.

“Kebanyakan PKRC juga sudah hampir penuh termasuk di Hospital Kuala Nerang dan kita tidak mahu ‘menukarkan’ semua hospital kita menjadi pusat rawatan Covid-19 kerana ada pesakit lain juga jadi kita buat tempat khusus dalam usaha tangani cabaran Covid-19 ini,” katanya.   

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM700,000 bagi menyediakan bakul makanan untuk penduduk terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kota Setar dan Kubang Pasu.

“Sebanyak 2,000 bakul makanan akan disediakan di Kubang Pasu dan 5,000 di Kota Setar untuk membantu keluarga yang sangat memerlukan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk terutama di kawasan PKPD supaya mengamalkan pengasingan kendiri di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan tersebut seperti dipraktikkan di Taiwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN