PASIR GUDANG: Pharmaniaga Bhd. (Pharmaniaga) mampu membekalkan sebanyak 12 juta dos vaksin Covid-19 Sinovac untuk kegunaan rakyat Malaysia menjelang Julai tahun ini.
Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah dos berkenaan mencukupi untuk memberi suntikan kepada seramai enam juta penerima.
Katanya, sehubungan itu pihaknya berharap kerajaan akan mempercepatkan penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Pharmaniaga sedang menyediakan bekalan vaksin Sinovac dan dijangka menjelang Julai ini, kita akan mengeluarkan sebanyak 12 juta dos vaksin untuk kegunaan seramai enam juta penerima.
“Namun begitu, jumlah vaksin yang besar tidak akan dapat dimanfaat sepenuhnya sekiranya jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tidak ditambah.
“Sehubungan itu saya menyeru kerajaan melaksanakan ‘parallel vaccination’ seperti di Indonesia, iaitu melibatkan pemain industri kesihatan swasta dalam pemberian vaksin bagi membolehkan negara mencapai sasaran imuniti kelompok yang ditetapkan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Yayasan Pasir Gudang kepada PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam, di sini hari ini.
Tambah Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Pharmaniaga, usaha itu penting kerana jika hanya bergantung kepada aset kerajaan sahaja ia akan mengambil tempoh masa yang terlalu lama.
“PPV di Dewanraya Bandar Seri Alam ini misalnya hanya mampu melakukan suntikan vaksinasi kepada seramai 1,000 penerima sehari, jika diikutkan jumlah penduduk setempat, ia akan memerlukan tempoh lebih daripada setahun untuk selesai.
“Jadi kerajaan perlu menyegerakan penglibatan industri kesihatan swasta terpilih dalam membantu proses vaksinasi, khususnya di kawasan penting seperti kawasan perindustrian bagi membolehkan sektor ekonomi terus berjalan dalam keadaan lebih terkawal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau pada masa sama meminta agar syarikat swasta tampil menyantuni PPV di kawasan masing-masing bagi meringankan beban petugas barisan hadapan negara.
“Banyak perkara yang boleh pihak swasta bantu seperti menyediakan kemudahan peralatan dan perkakas selain turut menyumbang bekalan makanan dan minuman.
“Pada hari ini, Yayasan Pasir Gudang menyumbang peralatan seperti televisyen, mesin cetak dan juga bekalan sarapan selama sebulan kepada petugas di PPV ini,” jelasnya. – UTUSAN










