JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor percaya pendekatan secara dwi-partisan bagi berdepan pandemik Covid-19 adalah langkah terbaik dalam menangani pandemik itu demi memastikan kesihatan dan ekonomi rakyat terjamin.
PH Johor dalam satu kenyataan memberitahu, sehubungan itu pihaknya mencadangkan lima perkara utama yang perlu dibincangkan dalam pertemuan bersama kedua-dua pihak, iaitu kerajaan dan pembangkang minggu depan.
“Cadangan pertama adalah melibatkan usaha melakukan ujian saringan secara besar-besaran bagi mengatasi penularan pandemik dalam komuniti dengan menggerakkan hospital di bawah KPJ Healthcare yang dimiliki Johor Corporation Bhd (JCorp).
“Kedua adalah memperluas kempen pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksinasi yang masih rendah ketika ini bagi mencapai sasaran 70 peratus penduduk Johor menerima suntikan.
“Ketiga, satu pelan bantuan perlu dirangka bagi membantu mereka yang terkesan ketika perintah darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 khususnya golongan B40,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kenyataan tersebut ditandatangani secara bersama oleh Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini berbincang berhubung situasi semasa Covid-19 yang semakin meningkat khususnya di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad memaklumkan, pihaknya menyokong titah Sultan Ibrahim dan akan mengadakan perbincangan bersama semua wakil rakyat di negeri ini pada minggu depan.
Sementara itu, tambah PH Johor, usaha pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura untuk memulihkan ekonomi negeri ini setelah kian lama terjejas akibat pandemik Covid-19 juga antara cadangan yang perlu disentuh dalam pertemuan itu.
“Terakhir adalah desakan agar kerajaan persekutuan menamatkan perintah darurat bagi membolehkan Parlimen dan DUN dapat bersidang semula untuk membincangkan ekonomi rakyat dan negara,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE











