ALOR SETAR: Peningkatan kes Covid-19 di Kedah sejak kebelakangan ini adalah hasil daripada pelaksanaan ujian saringan secara bersasar di kawasan-kawasan berisiko.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau yakin usaha itu adalah langkah yang tepat dalam mengenal pasti mereka yang dijangkiti agar pandemik tersebut tidak terus tersebar kepada individu lain.
“Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Fikri Ujang maklumkan saya yang mereka sememangnya ‘mencari’ di tempat-tempat berisiko dan ada kes banyak seperti seperti pasar borong.
“Memang itulah cara yang sepatutnya bagi memastikan penularan Covid-19 ini tidak tersebar ke tempat lain. Sebab itu, kita lihat angka kes baharu kian meningkat kebelakangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kota Setar di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi meminta penduduk negeri ini bertindak secara bertanggungjawab dengan hadir ke PPV setelah menerima tarikh untuk divaksin daripada Kementerian Kesihatan Malaysia..
“Tindakan mereka yang tidak hadir tanpa sebab untuk menerima vaksin ini seolah-olah tidak bertanggungjawab untuk keselamatan diri sendiri.
“Harapnya selepas ini tidak berlaku lagi perkara seperti itu kerana kita sangat mengharapkan agar 80 peratus daripada rakyat Kedah dapat divaksinasi sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengarahkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menentukan prosedur operasi standard (SOP) kepada pesawah untuk keluar menabur benih padi dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’.
Menurutnya, langkah tersebut perlu diambil memandangkan ramai dalam kalangan pesawah yang khuatiri pelaksanaan ‘total lockdown’ itu menghalang mereka menabur benih di kawasan sawah mereka.
“Kalangan pesawah juga boleh rujuk kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) masing-masing untuk mereka minta surat dan SOP ditetapkan.
“Saya fikir tak ada masalah untuk masalah untuk mereka ke sawah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










