PBB iktiraf peranan Malaysia isu Myanmar, Palestin - Utusan Malaysia

PBB iktiraf peranan Malaysia isu Myanmar, Palestin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian Malaysia berhubung isu-isu berkaitan Myanmar dan Palestin kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres melalui panggilan telefon yang diterima Perdana Menteri, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin menyatakan kekesalan dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tidak menunjukkan perkembangan positif.

Dalam hal ini, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain mengadakan pertemuan pada April lalu bagi mencari jalan penyelesaian menangani krisis di Myanmar.

Perdana Menteri berpandangan bahawa PBB dan ASEAN boleh bekerjasama bagi mencari jalan penyelesaian menangani krisis politik di negara itu, terutama melalui Five-Point Consensus yang dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin Pemimpin ASEAN tersebut.

“Malaysia juga telah memaklumkan bahawa pelantikan suatu Utusan Khas Pengerusi ASEAN sedang dimuktamadkan dalam usaha mencari jalan penyelesaian secara damai demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB juga bersetuju supaya semua pihak yang terlibat harus terus bekerjasama secara konstruktif dengan tujuan memastikan kestabilan politik dan ekonomi di Myanmar,” katanya di sini hari ini.

Berhubung situasi di Palestin pula, kedua-dua pemimpin turut menyatakan rasa dukacita atas keganasan yang dilakukan tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki.

Katanya, Malaysia mengutuk sekeras kerasnya pencerobohan yang dilakukan tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei lalu.

Dalam hal itu, Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata kedua-dua pihak, Israel dan pejuang Palestin di Gaza.

“Perdana Menteri menyatakan sokongan atas usaha PBB dan negara-negara yang terlibat supaya pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata serta mencari jalan penyelesaian yang berkekalan bagi menamatkan konflik tersebut.

“Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sepakat menyatakan bahawa penderitaan yang dialami rakyat Palestin perlu dihentikan serta merta dan amat perlu mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keamanan berpanjangan untuk kedua-dua belah pihak.

“Atas dasar itu, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten bagi penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka dari belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sesi panggilan telefon tersebut yang dilakukan António Guterres ke atas Perdana Menteri bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan bahawa PBB mengiktiraf peranan penting Malaysia dalam isu tersebut di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya