PUTRAJAYA: Malaysia menyertai masyarakat antarabangsa dalam mengutuk tindakan rejim Israel yang angkuh meneruskan pendudukan secara haram tanah milik penduduk Palestin.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Malaysia turut menyelar penindasan berterusan oleh Zionis yang jelas mencabuli perundangan hak asasi kemanusiaan sejagat.
“Justeru, kita menggesa Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) lebih bertindak tegas dan segera mengakhiri punca krisis yang sekian lama berlarutan itu,” katanya sebagai mewakili Malaysia pada Sesi Khas ke-30 majlis itu di Geneva, Switzerland semalam.
Sesi itu diadakan atas permintaan khusus daripada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi dan turut menerima sokongan teguh daripada 69 buah negara.
UNHRC merupakan organisasi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 2006 lalu dengan mempunyai 47 negara anggota dipilih bagi mewakili lima rantau dunia.
Krisis tercetus pada 6 Mei lepas apabila penduduk Baitulmaqdis bangkit membuat bantahan atas keputusan mahkamah rejim Zionis mengusir enam keluarga Palestin di Sheikh Jarrah.
Kemelut berdarah yang meragut 240 nyawa itu merebak ke Gaza apabila pejuang Hamas bertindak balas menyerang Israel dan berakhir menerusi gencatan senjata pada 21 Mei lalu.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Malaysia bersama-sama OIC dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) menyokong usul UNHRC pada sesi itu mengecam kezaliman rejim Zionis.
“Kita menyokong pembentukan Suruhanjaya Inkuiri bagi memastikan kebertanggungjawaban dan sokongan kemanusiaan kepada penduduk Palestin daripada ditindas kejam pihak Israel.
Pada masa sama ujarnya, Malaysia menekankan bahawa pihak penceroboh mesti memberi kerjasama penuh memastikan suruhanjaya itu dapat melaksanakan mandat dengan efektif.
Malaysia jelasnya, menaruh keyakinan bahawa hanya dengan keadilan dan akauntabiliti, warga Palestin mampu menikmati semula hak asasi manusia yang sewajarnya diperoleh mereka.
Sehubungan itu, tegasnya, polisi kolonial, tiada kemanusiaan dan bersifat Apartheid dilakukan rejim Israel perlu ditamatkan agar Palestin menerima kembali masa depan yang sepatutnya.
Kerajaan Malaysia juga sentiasa berdiri teguh menyokong perjuangan Palestin dan tetap bersuara lantang demi memulihkan semula hak negara itu yang cuba dihapuskan oleh rejim Zionis.
“Ini termasuk pembentukan kembali negara Palestin yang merdeka berdaulat berdasarkan peta sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timus sebagai ibu kotanya,” kata Kamarudin. – UTUSAN









