Tiada surat peletakan jawatan Akmal diterima UMNO - Utusan Malaysia

Tiada surat peletakan jawatan Akmal diterima UMNO

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada surat peletakan jawatan daripada Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh diterima parti setakat ini, ekoran khabar angin yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO itu mahu melepaskan jawatannya termasuk kedudukan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang keputusan hanya boleh diambil berdasarkan dokumen bertulis, bukan maklumat yang tersebar di media sosial atau khabar angin.

“Saya sebagai Setiausaha Agung parti tidak berpandukan kepada media sosial atau cakap-cakap yang berlegar. Saya berpandukan kepada surat rasmi,” katanya dalam sidang akhbar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi turut menasihatkan Muhamad Akmal agar tidak berputus asa susulan perbezaan pandangan dalam parti, kerana ia adalah lumrah dalam organisasi politik.

“Nasihat saya sebagai seorang abang kepada Akmal, yang juga bertanggungjawab meletakkan beliau di posisi tersebut, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Saya sendiri pernah menjadi Ketua Pemuda dan ada ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Namun, itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengundur diri atau melemahkan semangat kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi dalam organisasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN