KUALA LUMPUR: UMNO menerima sebanyak 104 usul membabitkan permohonan pengampunan penuh untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 pertengahan bulan ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keseluruhannya sebanyak 662 usul dikemukakan oleh 175 daripada 191 Bahagian yang telah bermesyuarat tahun lalu.
Beliau berkata, usul-usul tersebut merangkumi pelbagai isu termasuk politik, agama, pendidikan dan ekonomi.
“Antara usul yang paling panas dan paling banyak dikemukakan ialah tuntutan supaya keadilan ditegakkan serta permohonan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dibawa oleh 104 bahagian.
“Ini lebih kepada memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Bahagian-bahagian memahami undang-undang dengan jelas bahawa kuasa untuk memberi pengampunan bukan terletak kepada kerajaan, sebaliknya adalah hak mutlak Seri Paduka Baginda,” katanya. ” katanya dalam sidang akhbar PAU 2025 di sini, hari ini.
Najib sedang menjalani hukuman penjara yang telah dikurangkan selepas Lembaga Pengampunan pada 2024 memutuskan untuk mengurangkan separuh daripada hukuman asal 12 tahun penjara dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Pada 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum yang membenarkan Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di rumah sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan kerana Titah tersebut tidak mematuhi prosedur yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berhubung kuasa pengampunan.
Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan bahawa secara keseluruhan, UMNO menerima 662 usul, dengan Perak negeri tertinggi mengemukakan sebanyak 133 usul.
Beliau berkata, Perhimpunan Agung UMNO dijadual berlangsung dari 13 hingga 17 Januari ini akan dihadiri oleh rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA dan MIC.
“Sebagai parti komponen, kerana mereka sebahagian daripada Barisan Nasional bukan sahaja mereka, tetapi juga rakan-rakan BN,” katanya.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa tiada jemputan diberikan kepada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk perhimpunan kali ini kerana UMNO mahu memberi tumpuan kepada perbincangan dalaman parti.
“Kali ini kita tidak menjemput mereka kerana kita mahu fokus kepada hal ehwal dalaman parti supaya ahli dan perwakilan dapat bersuara secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata, budaya dan tradisi UMNO yang menekankan adab serta kesantunan boleh mengehadkan keterbukaan perbincangan sekiranya pihak luar turut hadir.
“UMNO adalah parti yang menjunjung adab dan tradisi Melayu. Jika kita menjemput parti lain, ada pandangan yang mungkin tidak dizahirkan sepenuhnya. Tidak seperti sesetengah parti yang boleh bersuara secara terbuka, UMNO secara tradisinya mengamalkan kesantunan dan kebijaksanaan dalam menyampaikan pandangan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan perwakilan dapat menyuarakan pandangan secara bebas dan tanpa kekangan sepanjang perhimpunan berlangsung. – UTUSAN










