PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam dengan 581 individu dicekup semalam berbanding 724 individu ditahan kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 574 individu dikenakan kompaun manakala enam direman hasil pemantauan melibatkan 16,127 anggota Task Force Operasi Pematuhan.
“Kesalahan tertinggi kali ini ialah tidak memakai pelitup muka iaitu sebanyak 191 kes diikuti tidak merekod butiran diri dengan 119 kes, gagal menjaga jarak fizikal (89), rentas kawasan tanpa kebenaran (67), tidak patuh arahan PKP (53) dan lain-lain lagi (62),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai 13 pendatang asing tanpa izin ditahan dan empat kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 164 bot atau kapal yang dicurigai turut dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 792 individu tiba di tanah air semalam dengan sejumlah 8,052 individu terbabit masih lagi dikuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 524 peruncit, 151 pemborong dan 31 pengilang serta melakukan sejumlah 2,541 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya dua premis terlibat dikenakan kompaun.
Beliau juga mengesahkan, tiada pekerja asing yang didapati positif Covid-19 melalui 123 pekerja asing disaring. – UTUSAN ONLINE










