Pahim jual maman tiga tan sempena sambutan Aidilfitri

Jual maman tiga tan sempena Aidilfitri

DALAM masa empat hari, Pahim Mahmud mampu menjual hampir tiga tan maman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Geduk Sawah, Tampin, Negeri Sembilan. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang penjual sayur maman di Kampung Geduk Sawah di sini berjaya menjual hampir tiga tan sayuran tersebut sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pahim Mahmud, 58, berkata, pada tahun lepas kesemua tiga tan sayur maman yang disediakannya habis terjual hasil permintaan sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, sayur maman mula mendapat perhatian kira-kira 10 tahun lalu apabila rendang maman mulai dikenali ramai orang.

“Jadi tahun ini saya sediakan lima tan sayur maman untuk dijual kepada pemborong di sekitar Gemencheh, Rembau dan ada juga untuk pasaran di Kuala Lumpur.

“Sejak Jumaat lepas sudah hampir tiga tan jualan maman dan saya menjangkakan orang ramai akan terus datang ke rumah saya bagi membeli maman ini sehingga ke hari raya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Geduk Sawah, di sini, hari ini.

Pahim berkata, dia masih mengekalkan harga RM6 bagi sekilogram maman.

Selain itu, dia juga menawarkan khidmat menyiang maman dalam kuantiti pembelian lima kilogram dan ke atas.

“Harga bagi maman yang siap disiang ialah RM8 bagi sekilogram. Biasanya khidmat ini diambil oleh peniaga rendang maman yang memerlukan maman dalam jumlah yang banyak untuk sekali masak.

“Saya juga ada menawarkan jualan rendang maman daging dan ayam di sini sempena sambutan hari raya mengikut permintaan,” katanya.

Pahim yang mengusahakan maman di tanah berkeluasan 1.2 hektar itu menambah, pada hari biasa dan bukan musim perayaan, sekitar 50 hingga 100 kilogram maman boleh dijual dalam masa sehari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya