SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan perlu menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam bidang tren bagi menyiasat semua aspek dalam kemalangan melibatkan sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam tadi.
Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, memandangkan kejadian berkenaan menyebabkan kecederaan orang awam, beliau juga menyeru polis membuat siasatan secara mendalam.
Tambah beliau, sekiranya kejadian itu melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 mesti diambil segera.
“Pasukan petugas itu perlu diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut.
“Laporan daripada pasukan petugas bebas tersebut mesti diumumkan secara telus kepada pihak orang ramai dan tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta merta untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban menyifatkan kemalangan yang melibatkan dua buah tren LRT Laluan Kelana Jaya pada malam semalam merupakan kemalangan tren yang sangat serius dan yang paling teruk dalam sejarah LRT sejak ia beroperasi pada tahun 1998.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, pihak polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa dari tren tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE










