Identiti Dr. Nur yang didakwa ditahan tentera Israel diketahui?

Identiti Dr. Nur diketahui?

DR. NUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Identiti ‘Dr. Nur’ yang didakwa ditahan tentera Israel mungkin dapat diketahui selepas seorang selebriti yang mengenali individu ‘misteri’ itu dilaporkan sudah memberikan kerjasama kepada kerajaan.

Pengacara, pelakon dan pe­nyanyi, Nor Iesyatirradiah Sanny Toh yang dikenali sebagai Iesya Toh dilapor sudah pun bercakap dengan Kementerian Luar melalui Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Bagaimanapun, sumber Utusan Malaysia ketika dihubungi memaklumkan, selebriti itu ti­dak dibenarkan membuat seba­rang kenyataan umum ber­kenaan Dr. Nur menyebabkan identiti individu yang didakwa diseksa tentera rejim Zionis itu masih menjadi tanda tanya.

“Tidak banyak maklumat yang saya tahu tentang hubu­ngan Iesya Toh dengan Dr. Nur, tetapi beliau sudah dihubungi oleh Wisma Putra dan PDRM kelmarin,” jawabnya ringkas semalam.

Sementara itu, seorang lagi selebriti yang juga dikenali umum aktivis kemanusiaan Pa­lestin, Nurheliza Helmi, ketika dihubungi tidak memberikan sebarang respons.

Kedua-dua figura itu sebelum ini memuat naik tangkap layar ke dalam akaun Instagram ma­sing-masing yang mengandungi mesej mengenai penangkapan Dr. Nur oleh pihak tentera Israel menyebabkan mereka diminta tampil memberi penjelasan kepada Wisma Putra.

Bagaimanapun, hantaran itu sudah dipadam, namun ia tular di media sosial dan me­nimbulkan polemik sehingga menarik perhatian Wisma Putra untuk mencari maklumat mengenai Dr. Nur termasuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir dan Amman, Jordan serta perwakilan di Palestin.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kemanusiaan Palestin memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti Dr. Nur serta penangkapannya oleh tentera Israel.

Malah, Ketua Pengarah Jaba­tan Imigresen (JIM), Datuk Khai­rul Dzaimee Daud ketika di­hubungi turut memaklumkan tidak menemui sebarang rekod keluar dari negara ini melibatkan individu bernama Dr. Nur.

Berita penangkapan Dr. Nur tular dalam media sosial baru-baru ini apabila beliau dilapor­kan mengalami kecederaan teruk akibat diseksa, termasuk patah tangan dan parah dekat kaki akibat ditembak selain dipaksa membuka purdah.

Namun, wujud keraguan ter­hadap tangkap layar mesej me­nerusi WhatsApp tular itu apabila penghantarnya mengetahui tahap kecederaan termasuk denyutan nadi Dr. Nur yang didakwa terhenti sedangkan dia ditahan tentera Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×