Hari pertama PKPD, penduduk alih penghadang konkrit - Utusan Malaysia

Hari pertama PKPD, penduduk alih penghadang konkrit

PENDUDUK menaiki mptosikal merentasi halangan selepas penghadang konkrit dialihkan individu tidak bertanggungjawab di Jalan Bangau Tanjung di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua mukim di daerah ini hari ini, menyaksikan terdapat individu yang bertindak degil memindahkan konkrit penghadang jalan untuk merentasi halangan berkenaan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dilakukan di Jalan Bangau Tanjung di sini sekali gus menyaksikan penduduk yang menggunakan motosikal bertindak melalui laluan yang dibuka tersebut.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, setelah menerima laporan tindakan itu kira-kira pukul 7 pagi, polis bertindak mengalihkan kembali penghadang konkrit dan memasang kawat besi di laluan berkenaan.

“Apa diharapkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan tidak melanggar peraturan sepanjang tempoh PKPD.

“Langkah ini penting untuk membendung penularan pandemik Covid-19 di daerah ini dan polis terus melakukan pemantauan di lokasi terbabit dari semasa ke semasa,” katanya di sini hari ini.

Bermula tengah malam semalam, dua mukim iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau di daerah ini dikenakan PKPD sehingga 10 Jun depan susulan peningkatan ketara kes di kawasan berkenaan dalam tempoh 10 hari iaitu sebanyak 180 kes.

Bagi Mukim Perak antara lokasi terlibat ialah bandar Temerloh selain Kampung Belengu, Kampung Pangsenam, Kampung Buntut Pulau, Tanjung Lalang, Jalan Bahagia dan Kampung Batu Satu selain taman-taman sekitar.

Mukim Bangau pula membabitkan beberapa lokaliti antaranya Kampung Bangau Parit, Kampung Telok Ira, Kampung Tanjung Besar, Kampung Bukit Resak dan Kampung Gau Baru. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya