fbpx

Hanya mampu jual 100 capal

MOHAMMAD Nazri Rashid menunjukkan capal yang dijual pada harga RM79 hingga RM149 sepasang di kedai Daud Bersaudara Enterprise di Melaka. - FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sinonim dengan sambutan Aidilfitri, capal masih mempunyai peminatnya tersendiri terutama capal Melayu. Tidak lengkap rasanya andai segak berbaju Melayu, bersongkok dan bersamping namun tanpa capal di kaki.

Pekerja Daud Bersaudara Enterprise, Mohammad Nazri Rashid, 34, berkata, permintaan terhadap capal Melayu masih tinggi berbanding capal lain kerana harganya yang lebih murah.

Katanya, kerja-kerja penghasilan capal Melayu yang ringkas dan moden juga sering memenuhi cita rasa pelanggan.

MOHAMMAD Nazri Rashid menyusun capal di rak jualan untuk tatapan pelanggan di kedai Daud Bersaudara Enterprise di Melaka. – FOTO/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

“Gaya capal dari dahulu sama sahaja, tidak banyak berubah dan semuanya buatan tangan. Bentuknya yang kelihatan seperti selipar moden biasa lebih menarik perhatian pelanggan berbanding rekaan capal Nabi.

“Pembuatan capal Nabi lebih kompleks dan rekaannya juga berlainan. Sebab itu harganya agak mahal dan kurang mendapat sambutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Mohammad Nazri, ketika awal penubuhan Daud Bersaudara Enterprise hampir 40 tahun lalu, perusahaan itu menghasilkan sendiri capal untuk dijual.

“Bagaimanapun, permintaan capal yang semakin meningkat menyebabkan kami mengambil capal daripada pengeluar lain di sekitar Melaka, Johor dan Kuala Lumpur. Kekurangan tenaga kerja juga antara faktor kami tidak lagi menghasilkan capal sendiri,” katanya.

Namun beliau mengakui jualan capal di kedainya merosot dengan ketara sejak tahun lepas akibat pandemik Covid-19 dan ketika berbaki empat hari sebelum Syawal, hanya 100 pasang berjaya dijual.

Jelasnya, keadaan itu berbeza sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila dia mampu menjual 400 pasang capal menjelang hari raya.

“Perniagaan capal tidak serancak dulu kerana suasana raya raya tidak dirasai seperti sebelumnya. Kami sekarang hanya bergantung kepada pelanggan tetap kerana mereka sudah tahu kualiti produk selain biasa berurusan dengan kam,” katanya. – UTUSAN