Ekonomi Indonesia menyusut namun tunjuk tanda pemulihan - Utusan Malaysia

Ekonomi Indonesia menyusut namun tunjuk tanda pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Ekonomi Indonesia menyusut untuk suku keempat berturut-turut namun pada tahap sederhana selepas kerajaan meningkatkan perbelanjaan dan harga komoditi yang lebih tinggi menyokong eksport.

Ekonomi negara itu menguncup secara sukuan, pada asas terlaras tidak bermusim, 0.96 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu selepas mencatat penguncupan 0.42 peratus suku sebelumnya, namun lebih rendah berbanding unjuran penurunan 1.04 peratus.

“Ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi menjadi lebih jelas. Sudah pasti, kami berharap pemulihan ekonomi pada 2021 dapat menjadi kenyataan,” kata Ketua Biro Statistiknya, Suhariyanto dalam satu sidang akhbar yang disiarkan.

Penggunaan, yang merangkumi sekitar separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terus menguncup dari tahun sebelumnya kerana pengguna tetap enggan membuat pembelian besar seperti kereta.

Sementara itu, perbelanjaan kerajaan meningkat 2.96 peratus dalam tempoh tersebut berikutan peningkatan perbelanjaan sosial.

Ekonomi Indonesia pada 2020 mengalami penguncupan KDNK sepanjang tahun buat kali pertama dalam lebih dua dekad ketika penularan Covid-19 melanda dan menjejaskan pekerjaan berjuta-juta rakyatnya.

Bagi membantu mengurangkan kesan buruk pandemik, kerajaan menyuntik 579.78 trilion rupiah (RM166.78 bilion) ke dalam ekonomi dan memperluas perbelanjaan pemulihan tahun ini kepada 699.4 trilion rupiah (RM201.19 bilion) berbanding 403.9 trilion rupiah (RM116.19 bilion) yang dianggarkan pada awal tahun.

Indonesia mencatatkan jumlah jangkitan dan kematian Covid-19 tertinggi di Asia Tenggara. Kes telah menurun selepas lonjakan pada Januari, namun negara itu mengesan kes pertama varian Covid-19 dari India, awal minggu ini.

Ahli ekonomi Bank Mandiri, Faisal Rachman berkata, ekonomi bergerak di landasan yang betul dan diharapkan akan bertambah baik pada pertengahan kedua tahun ini.

“Perbelanjaan isi rumah dan pelaburan tetap meningkat seiring permintaan yang didorong oleh keyakinan proses pengagihan vaksin,” katanya.

Bank pusatnya memotong kadar faedah utama sebanyak 150 mata asas secara keseluruhan, menyuntik lebih AS$50 bilion (RM206.22 bilion) kecairan ke dalam sistem kewangannya dan melonggarkan peraturan pinjaman sejak pandemik bermula bagi membantu menyerap impaknya.

Bank Indonesia menjangka ekonomi akan berkembang sebanyak 4.1 hingga 5.1 peratus tahun ini. Unjuran terbaharu itu dikurangkan berbanding sebelumnya iaitu 4.3 hingga 5.3 peratus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya