Covid-19 bukan penyakit biasa - Imam 1 Masjid Tengku Afzan

‘Covid-19 bukan penyakit biasa’ – Pengakuan bekas pesakit

MOHD. HAFIDZ MOHAMAD SUHAILE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Covid-19 bukan penyakit biasa, sebaliknya ia boleh menyebabkan kesakitan teruk kepada mereka yang sakit kronik seterusnya membawa kematian. 

Demikian tegas bekas pesakit wabak berkenaan, Imam 1 Masjid Tengku Afzan, dekat Indera Mahkota di sini, Mohd. Hafidz Mohamad Suhaile, 34, yang disahkan positif pandemik Covid-19 pada 14 Mei lalu.

Menceritanya pengalamannya, beliau berkata, sewaktu dikuarantin, beliau melihat sendiri keadaan sebenar pesakit lain yang positif pandemik tersebut. 

“Wabak ini amat menyakitkan terutama bila saya lihat sendiri pesakit lain yang mengalami sesak nafas sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat juga pesakit hampir kemurungan kerana tahap ketahanan mental jatuh disebabkan terpaksa berdepan dengan mereka yang memandang serong dan paranoid kepada pesakit Covid-19.

“Sedikit sebanyak saya juga tidak terkecuali namun atas semangat yang ada saya cuba melawan dan bersama-sama rakan baharu yang lain cuba memberi kata-kata positif antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pemberita di masjid itu di sini hari ini. 

Pada awal Mei lalu, dua imam dan dua bilal masjid itu disahkan positif, tiga daripadanya telah sembuh, manakala seorang lagi bilal masih dalam Unit Rawatan Rapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Mohd. Hafidz berkata, meskipun kini telah bebas sepenuhnya daripada virus berbahaya tersebut, beliau tidak dapat melupakan pengalaman menjadi salah seorang pesakit pandemik Covid-19.

Menurutnya, ketika disahkan positif wabak itu, ia sangat mengejutkannya dan keluarga lebih-lebih lagi dua orang anaknya berusia lapan dan 10 tahun.

“Dalam keadaan reda menerima keputusan tetapi dalam masa sama turut berperang dengan emosi dan bimbang masyarakat menuduh saya adalah punca… masa itu saya berdoa ke hadrat Allah SWT biar saya seorang yang sakit, jangan orang lain sakit,” katanya.

Beliau berkata, isterinya turut disahkan positif kira-kira empat hari selepas beliau ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dekat Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini.

Mengulas tindakan sebahagian rakyat yang menolak untuk menerima suntikan vaksin, Mohd. Hafidz berkata, perkara itu berlaku berkemungkinan disebabkan tidak menerima maklumat yang tepat dan terpengaruh dengan dakyah kumpulan anti-vaksin.

“Sangat rugi kalau diberi peluang (menerima vaksin) tapi tidak diambil, kita yang belum dapat pun berharap sangat untuk segera diberikan vaksin.

“Masalahnya mungkin mereka tidak mendapat maklumat betul daripada pakar kesihatan berkaitan vaksin dan selebihnya mungkin dipengaruhi dakwaan oleh kumpulan anti-vaksin.

“Benda seperti ini berlaku kerana mereka tidak melihat sendiri suasana di tempat kuarantin… saya sudah mengalaminya dan melihat kesan Covid-19 terhadap sistem imunisasi kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN