PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memohon Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menangguhkan semakan semula gaji minima yang dijadualkan bermula pada Februari 2022.
Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman J.P. berkata, pihaknya sedar ramai pekerja yang terkesan kerana wabak Covid-19, namun majikan-majikan juga tidak terkecuali daripada menerima impaknya.
“Kini bukan masa yang sesuai untuk menambahkan kos menjalankan perniagaan kerana majikan terpaksa menggunakan langkah pemberhentian dan pengurangan pekerja selain pemotongan gaji 30 hingga 50 peratus berikutan kesan pandemik Covid-19.
“Pada tahun lepas sahaja, majikan telah menghadapi pelbagai cabaran sehingga menyebabkan lebih dari 32,000 syarikat ditutup,” katanya.
Jelasnya, pihaknya berpendapat status quo perlu dikekalkan bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi susulan pandemik yang melanda.
Tambahnya, pihaknya merayu kepada kerajaan untuk tidak menambahkan beban majikan buat masa ini kerana pandemik masih belum reda.
Pihaknya juga memohon untuk berikan sedikit ruang untuk majikan menstabilkan perniagaan dan mencipta pekerjaan.
“Majoriti majikan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak dapat membayar kos sewa dan operasi dan ramai juga yang tidak mempunyai anggaran pembiayaan selama tiga bulan untuk menguruskan perniagaan.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan namun, ia tidak mampu mengatasi masalah keperluan orang ramai,” ujarnya.
Bagaimanapun, Syed Hussain memberitahu, dalam jangka masa panjang, peningkatan gaji minima memang tidak dapat dielakkan berikutan faktor-faktor politik.
Menurutnya, selain gaji pokok, gaji minima dan gaji kasar termasuk elaun, komisen, insentif, caj perkhidmatan untuk hotel dan kerja lebih masa juga patut di semak semula.
Beliau berpendapat gaji minima harus ditentukan berdasarkan lokasi geografi, di mana negeri-negeri yang kurang maju seperti Sabah dan Kelantan patut mempunyai gaji minima yang lebih rendah untuk mendorong majikan berpindah dan mewujudkan pekerjaan bagi penduduk tempatan di situ.
“Majikan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk keadaan kembali stabil dengan lebih pasti sebelum mempertimbangkan bagi membincangkannya kerana ia bukan perkara yang mudah apabila melibatkan kos sara hidup,” katanya.
Semasa menyampaikan perutusan sempena Hari Pekerja 2021 bertemakan Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, kadar gaji minima pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosioekonomi semasa negara. – UTUSAN ONLINE