fbpx

11 pelanggan bazar gagal patuh SOP dikompaun

MIOR Faridalathrash Wahid (kiri) bertemu peniaga semasa program pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing di Bazar Ramadan Stadium Perak di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 11 kompaun dikenakan ke atas pengunjung bazar Ramadan di negeri ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sembilan kesalahan dikesan membabitkan tidak memakai pelitup muka ketika berada di bazar dan dua kesalahan tidak merekod kehadiran melalui MySejahtera atau buku pendaftaran kehadiran manual. 

Katanya, kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang itu direkodkan di bazar Ramadan di Teluk Intan, Manjung, Kampar dan Ipoh.

“Daripada tinjauan yang dilakukan, kebanyakan peniaga dan pelanggan bazar mematuhi SOP yang ditetapkan dengan menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. 

“Walaupun ada segelintir mereka yang memakai pelitup muka tidak sempurna, kita akan beri teguran, jika berlaku lagi maka tindakan mengeluarkan kompaun akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan pemantauan SOP Covid-19 dan Program High Profile Policing di Bazar Ramadan Stadium Perak, di sini hari ini.

Menurut beliau, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perak bermula 19 Mac hingga semalam, sebanyak 155 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar SOP.

Katanya, kadar pematuhan sebanyak 96 peratus juga direkodkan dalam kalangan masyarakat.

“Sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lalu, sebanyak 9,465 kompaun dikeluarkan di seluruh negeri dengan 4,181 kompaun telah dibayar.

“Setakat ini kadar jangkitan di negeri ini masih terkawal dan tiada lokasi PKPD dikuatkuasakan di sini setakat ini,” katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berlaku pelanggaran SOP termasuk mengetahui terdapat individu merentas negeri diminta menyalurkan maklumat kepada polis untuk diambil tindakan. – UTUSAN

×
×