HULU TERENGGANU: UMNO tidak harus terus bersedih dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebaliknya perlu melakukan gerak kerja bagi menawan semula negeri itu pada PRU akan datang.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, jentera Wanita di pelbagai peringkat perlu bangkit semula untuk mendekati serta memenangi hati pengundi dan bukannya menunggu pada saat-saat akhir.
“Kita kena mulakan sekarang untuk kerja kuat. Perlu sentiasa turun padang dekati, ramah mesra dengan pengundi. Kita pernah menang, tidak mustahil hasil usaha dari awal dilakukan, pada PRU akan datang kita boleh menang semula.
“Kita perlu kembali dan berusaha pastikan kemenangan menjadi milik kita, jadi parti yang dominan dalam PRU akan datang. Kita ketepikan perbezaan pendapat, bekerja kuat lah dari sekarang,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagor, di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga sayap UMNO perlu ‘mengharmonikan’ peranan masing-masing bagi memastikan rakyat di pelbagai peringkat dapat disantuni dengan baik serta terus dapat dijaga erat.
Katanya, Pergerakan Wanita UMNO boleh meneruskan gerak kerja dengan menyantuni rakyat dari rumah ke rumah dan sayap Pemuda serta Puteri dengan pelbagai strategi kempen termasuk dalam media sosial. – UTUSAN










