Hanya 1,516 individu pekerja p-hailing daftar SKSPS di NS

Hanya 1,516 individu pekerja p-hailing daftar SKSPS di NS

FUAD Alias (kiri) menyerahkan bantuan faedah Perkeso kepada ibu bapa Allahyarham Jamaludin, Syamsiar H Saleh, 67, dan Amir Buyung, 68, ketika Program Penyampaian Sumbangan Perkeso di Taman Kota Indah, Rembau, Negeri Sembilan hari ini. - FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hanya 1,516 individu yang bekerja di bawah perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) menggunakan motosikal atau p-hailing di negeri ini telah berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, jumlah individu berdaftar berkenaan masih lagi kecil jika dibandingkan dengan jumlah sebenar bilangan individu yang bekerja di bawah sektor p-hailing di negeri ini.

“Jika mendaftar sekarang, kerajaan membiayai caruman mengikut pelan caruman kedua iaitu perlindungan mengikut gaji RM1,550 sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan setahun dan semua ‘delivery riders’ tidak perlu membayar apa-apa untuk perlindungan ini kerana telah dibiayai oleh kerajaan. 

“Kadar ini jika dibayar sendiri juga tidak membebankan iaitu serendah RM13.10 sehingga RM49.40 sebulan iaitu mengikut kadar gaji dari RM1,000 hingga RM4,000 sebulan,” katanya dalam Program Penyampaian Sumbangan Perkeso kepada waris keluarga Allahyarham Jamaludin Amir, 36, di Taman Kota Indah, di sini hari ini.

Allahyarham Jamaludin iaitu orang kurang upaya (OKU) yang bekerja sendiri sebagai penghantar makanan Grabfood disahkan meninggal dunia pada 15 April lalu selepas kira-kira seminggu mengalami kemalangan di Puchong, Selangor.

Kedua-dua ibu dan bapa Jamaludin layak mendapat faedah Perkeso berupa Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM 406 setiap bulan.

Fuad berkata, Jamaludin bagaimanapun, tidak mendaftar dengan SKSPS dan faedah yang diperoleh waris keluarga adalah daripada caruman arwah sebelum bekerja sebagai penghantar makanan.

Menurutnya, pada tahun ini sahaja, pihaknya telah menerima lima kes kemalangan membabitkan individu bekerja dalam sektor p-hailing di mana hanya seorang individu sahaja yang layak menerima bantuan di bawah SKSPS kerana telah membuat pendaftaran di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, pencarum berkenaan telah terbabit dalam kemalangan di pekan Salak, Nilai berpunca daripada sebuah kenderaan yang menukar arah secara mengejut.

“Mangsa yang mengalami kecederaan pada lutut telah mendapat cuti sakit dari 28 Februari hingga 4 Mei akan datang. Mangsa layak mendapat faedah di bawah skim berkenaan.

“Kami harap agar lebih ramai lagi individu yang bekerja sendiri khususnya di negeri ini supaya mendaftar dan mencarum dengan SKSPS di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 untuk perlindungan mereka dan keluarga jika berlaku apa-apa musibah sewaktu melakukan aktiviti pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya