Coklat sering dikaitkan dengan gaya pemakanan yang tidak sihat, sebahagian besarnya kerana kandungan gulanya yang tinggi.
Ada benarnya juga kerana rata-rata chocolate komersial yang dijadikan sebagai pemanis mulut mempunyai penambah rasa dan bahan pengawet yang memberi rasa manis dan berlemak sehingga tidak ramai yang tahu bagaimana rasa coklat yang asli.
Atas kesedaran itu, sebuah produk diwujudkan untuk menawarkan pilihan coklat yang lebih sihat dan masih mengekalkan keaslian rasa coklat. Produk itu dinamakan sebagai Cocova.
Pengasas Cocova, Euniece Quek berkata, perbezaan produknya itu berbanding coklat yang lain ialah ia tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi dan tiada langsung bahan buatan.
“Kami menggunakan teknik bean to bar di mana biji coklat itu melalui proses fermentasi. Melalui proses itu sahaja, coklat itu akan menghasilkan banyak perisa yang tersendiri.
“Kira-kira 60 peratus perisa coklat kami datang daripada proses itu, jadi orang ramai boleh tahu bagaimana rasa sebenar coklat yang sihat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelasnya, gula dalam produknya itu tidak menggunakan gula yang diproses tetapi menggunakan gula tebu mentah sebagai pilihan gula yang lebih sihat.
Tambahnya lagi, produk itu juga boleh dikategorikan sebagai makanan vegan kerana tidak mengandungi susu selain daripada minuman.
Sementara itu, pengasas bersamanya, Chan Jinli memberitahu, jualan syarikat yang mula beroperasi pada hujung 2019 itu buat masa ini hanya dijalankan secara dalam talian.
“Kami telah melancarkan laman web pada September lalu iaitu Cocova.co. Disebabkan pandemik Covid-19, kami memilih untuk membuat jualan secara dalam talian buat masa ini.
“Sejujurnya, perkembangan perniagaan ini agak perlahan kerana tidak semua orang tahu akan kewujudannya,” kata wanita berusia 36 tahun itu.

Jinli menambah, cabaran terbesarnya dalam menjalankan perniagaan yang hanya diusahakan oleh dua orang itu ialah ketiadaan pelabur kerana usia syarikatnya yang masih baharu.
Katanya, semua urusan harus diusahakan sendiri untuk mengawal dan mengekalkan perniagaan tanpa bergantung kepada orang lain.
Sebelum ini, Jinly dan Euniece kedua-duanya bekerja di syarikat swasta namun mereka membuat keputusan untuk bekerja sendiri demi mengejar impian.
“Gaji kerja sebelum ini memang lebih banyak dan stabil, tetapi dulu saya hanya membantu orang lain membina impian mereka sedangkan impian saya terabai.
“Justeru, selepas 15 tahun bekerja di syarikat itu, saya beranikan diri untuk memulakan perniagaan sendiri bersama rakan,” ujar Jinli.
Hasil daripada usaha yang tiada henti, kini jualan Cocova akan meningkat setiap kali memasuki musim perayaan kerana mereka juga menawarkan set hadiah yang sesuai diberikan kepada rakan-rakan atau keluarga.
Produk berkenaan merangkumi coklat yang berbentuk butang untuk dimakan begitu sahaja atau dijadikan minuman, selai coklat kacang kemiri, coklat bersalut kacang kemiri, dan minuman coklat bermula. Harga jualannya bermula dari RM14 ke RM150.
Bagi menyambut perayaan Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi, mereka turut menyediakan set hadiah berinspirasikan batik.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Cocova.co atau laman Instagramnya cocovamy.
Promosi:
Salam Gift Box RM89
100 kotak sahaja
1 x Chocolate Cranberry Cookies
1 x Happy 65% Dark Chocolate Buttons 60g
1 x Cheeky Hazel Dark Chocolate Coated Hazelnuts 40g
FREE 6 x Fabric Coasters
FREE 1 x Table Runner
Raya Cookies Bundle RM62
1 x Chocolate Cranberry Cookies
1 x Chocolate Peanut Butter Cup Cookies
-UTUSAN ONLINE










