GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Persekutuan dan membawa untuk dibahaskan di Parlimen sekiranya Kerajaan Negeri Kedah melaksanakan projek melibatkan Sungai Muda yang mengancam bekalan air di negeri ini.
Malah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan injunksi mahkamah bagi menghentikan projek itu.
Menurut beliau, sejak 1973 Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar kepada Kedah kerana tidak ada alasan perundangan bagi pembayaran tersebut.
Jelasnya, Pulau Pinang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, perjanjian persefahaman (MoU) atau kontrak untuk membayar kepada Kedah.
“Sekiranya Menteri Besar Kedah berpendapat beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.
“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta.
“Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Kerajaan Negeri Kedah mengumumkan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang akan menakung air di beberapa kawasan di Sungai Muda yang berkemungkinan boleh menyebabkan bahagian selatan sungai kering dan menjejaskan Pulau Pinang.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek itu akan memastikan Kedah mempunyai bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau kerana akan menstabilkan permukaan air Sungai Muda.
Dalam pada itu Kon Yeow berkata, mana-mana projek ‘baharu’ Sungai Muda, Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.
Tegasnya, projek sedemikian tidak boleh memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.776 juta orang di Pulau Pinang.
Tambah beliau, semua skim berkaitan air yang dicadangkan Menteri Besar Kedah juga tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air.
“Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan tetapi Kerajaan Persekutuan dan undang-undang negara boleh melupuskannya,” katanya.
Berhubung Sungai Muda tambah Kon Yeow, kerajaan negeri akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah tanpa caj dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri ini.
“Kita yakin Kedah tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk menuntut apa-apa pembayaran.
“Inilah sebabnya mengapa kita bersedia untuk berjumpa mereka di mahkamah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










