PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia dan Bank Pembangunan Islam (IsDB) mencapai persetujuan untuk mengubah status Pejabat Serantau Kuala Lumpur (ROKL) kepada pusat kecemerlangan (CoE).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penubuhan CoE tersebut diyakini dapat memberi manfaat baik kepada Malaysia, IsDB mahupun negara ahli yang lain.
“Di pihak kami, secara rendah diri kami sedar bahawa Malaysia menjadi rujukan kepada banyak negara ahli dan bukan ahli IsDB. Pengalaman pembangunan Malaysia, kepelbagaian ekonomi dan transformasi daripada masyarakat berpendapatan rendah kepada berpendapatan pertengahan tinggi menarik perhatian beberapa negara membangun yang menjadi ahli.
“CoE ini boleh memainkan peranan penting dalam memudah cara pertukaran nilai antara Malaysia dengan negara ahli lain, terutamanya dalam lima bidang yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam majlis mendatangani perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan IsDB untuk Instrumen CoE IsDB di Kuala Lumpur yang diadakan secara maya semalam.
Menurut Tengku Zafrul, sebelum penubuhan CoE, kerjasama kerajaan Malaysia dengan IsDB merangkumi empat bidang iaitu Kewangan Islam, Industri Halal, Rantaian Berbalik dan Mobilisasi Sumber.
Melalui transformasi daripada ROKL kepada CoE, satu lagi bidang ditambah sebagai fokus iaitu Sains, Teknologi dan Inovasi manakala Industri Halal ditambah baik dengan melibatkan Inisiatif dan Ekosistem Halal.
Kata beliau, dalam situasi pandemik kini, CoE telah menjelmakan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan ketidaktentuan global akibat Covid-19 dan membentuk pilihan polisi yang sesuai untuk menguruskan masa hadapan yang tidak tentu, sementara mewujudkan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif untuk negara.
“Walaupun ia mencabar, saya yakin dengan bersatu, kita mampu mengatasi cabaran tersebut.
“Malaysia teruja untuk bekerja sama dengan IsDB. Penglibatan kementerian-kementerian dan agensi sepanjang perjalanan ini membuktikan komitmen kami,” katanya. – UTUSAN ONLINE










