Buruh anjur sabung ayam didakwa - Utusan Malaysia

Buruh anjur sabung ayam didakwa

Azmi Ab. Aziz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tuduhan menganjurkan aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai, dua minggu lalu. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang buruh ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menganjurkan aktiviti perjudian sabung ayam di Kuala Krai, dua minggu lalu.

Tertuduh, Azmi Ab. Aziz, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Pok Jelak Bedal, Kuala Krai kira-kira pukul 4.45 petang pada 12 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) (u) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 722) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan, Mohd. Sharif Sabran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd. Sharif meminta mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tetapi Azmi dalam rayuannya memohon jumlah itu dikurangkan kerana mempunyai ramai tanggungan termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

“Sekarang ini, duit bersama saya hanya ada RM7,000 sahaja. Jadi, saya mohon jaminan yang rendah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin di samping menetapkan tarikh 25 April ini bagi sebutan semula.

Tertuduh membayar ikat jamin tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN