Tangkak catat bacaan IPU tidak sihat akibat kebakaran

Bacaan IPU tidak sihat di Tangkak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tangkak merekodkan paras tidak sihat iaitu 160 berikutan terdapat kebakaran sisa pokok dan sampah di hadapan stesen IPU Tangkak. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, Majlis Daerah Tangkak (MDT) sedang menjalankan kerja pemadaman dan pembersihan tapak dengan menimbus kawasan itu dengan tanah.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Muar masih menjalankan pemantauan lanjut dari masa ke semasa walaupun status semasa adalah tiada api dan asap lagi di tapak berkenaan.

“Berdasarkan perangkaan JAS negeri, terdapat 213 kes aduan pembakaran terbuka dilaporkan sejak awal tahun ini sehingga semalam.

“JAS bersama agensi berkaitan melaksanakan tindakan mencegah pembakaran terbuka meliputi rondaan fizikal, pemantauan udara menggunakan dron di kawasan berisiko terbakar dan kawasan dikenal pasti mudah terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program kesedaran dan memantau status kualiti udara semasa menerusi lapan stesen automatik JAS turut dijalankan bagi membendung pembakaran terbuka.

Katanya, pemilik tanah turut diingatkan memantau tanah masing-masing secara rapi, selain mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pembakaran terbuka termasuk terhadap pemilik tanah.

“Jika sabit kesalahan, boleh disiasat mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, iaitu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Kompaun maksimum berjumlah RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya