fbpx

26 Jun 2022, 10:52 am

  TERKINI

80% rakyat Malaysia mahu industri vape dikawal selia

SEBANYAK 80% responden mahukan industri vape dikawal selia kerajaan. - IHSAN MVIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejumlah besar rakyat Malaysia mahu industri rokok elektronik (vape) di negara ini dikawal selia oleh kerajaan, menurut sebuah kajian yang dijalankan Green Zebras melibatkan 1,025 penduduk dewasa di Malaysia.

Menurut kajian tersebut, 80 peratus responden berkata kerajaan harus mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di Malaysia manakala 76 peratus bersetuju bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada peraturan terhadap produk vape.

Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA), Rizani Zakaria berkata, laporan tersebut mengesahkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia mahu pengawalseliaan terhadap produk vape.

“Laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa terdapat lebih satu juta pengguna vape di Malaysia.

“Namun, tiada peraturan digubal untuk mengawal selia industri, menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak dikawal selia,” katanya dalam kenyataan dekat sini.

Maklumat tersebut dikumpulkan melalui tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape yang dihasilkan Green Zebras yang merupakan syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia atas permintaan MVIA.

Menurut Rizani, terdapat juga laporan yang membuktikan potensi ekonomi yang boleh disumbangkan industri vape terhadap Malaysia jika ia dikawal selia dengan baik.

“Laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh sebuah kumpulan industri tempatan mengesahkan bahawa industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan keupayaan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sedia ada dalam industri, selain menarik pelaburan.

“Hakikat ini tidak boleh diabaikan dan kerajaan mesti bertindak pantas untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape,” katanya.

Tinjauan tersebut turut mendapati bahawa 87 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape dan 74 peratus berpendapat hasil yang dikumpulkan daripada produk vape boleh dibelanjakan oleh kerajaan dalam bidang-bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi.

Kata Rizani, pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini merupakan satu langkah yang tepat ke arah mengawal selia industri.

“Ramai juga bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape kerana hasil yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya.

“Bagaimanapun, struktur cukai eksais semasa tidak termasuk e-cecair vape mengandungi nikotin yang membentuk sebahagian besar daripada pasaran tempatan,” katanya.

Disebabkan itu, kata Rizani, kutipan hasil kerajaan daripada industri vape tidak dapat dimaksimumkan dan pelaksanaan duti eksais tersebut tidak berkesan.

“Kerajaan harus meluaskan struktur cukai untuk merangkumi e-cecair vape mengandungi nikotin dan memperkenalkan peraturan jelas bagi produk itu.

“Dengan cara ini, kerajaan boleh memaksimumkan kutipan hasil dan pada masa sama memastikan pengguna dapat menggunakan produk yang dikawal selia di Malaysia,” katanya.

Selain itu, tinjauan yang dihasilkan juga bertujuan memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape dan telah meminta pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi penggunaan vape serta pendapat mereka atas penggunaan vape sebagai kaedah mengurangkan mudarat daripada tembakau.

Menurut MVIA, penemuan lain daripada tinjauan tersebut akan didedahkan dalam minggu-minggu akan datang. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI