ALOR SETAR: Sektor pelancongan di Langkawi, dekat sini dijangka bertambah buruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bermula hari ini hingga 9 Disember ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad merayu bantuan kerajaan Pusat demi kelangsungan industri itu di pulau peranginan tersebut.
“Status pelancongan di Langkawi sekarang memang terkesan teruk yang mana sebelum ini selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada Mac lalu, kita nampak ada sedikit perubahan.
“Namun apabila dilaksanakan PKPB di Lembah Klang dan Selangor serta negeri-negeri lain, ia dilihat kembali mencatatkan penurunan pelancong yang ketara,” katanya pada sidang akhbar berkaitan pelancongan negeri di sini hari ini.
Mohd. Firdaus bagaimanapun tidak menyatakan jumlah penurunan pelancong dan kerugian yang dialami dalam industri pelancongan di pulau peranginan tersebut pada tahun ini.
Beliau difahamkan, terdapat beberapa hotel yang menutup operasi namun tidak dapat dipastikan sama ada ia ditutup sementara, selamanya atau ditutup untuk dinaik taraf.
Katanya, bantuan untuk Langkawi penting memandangkan sektor pelancongannya turut membantu ekonomi negara.
“Majoriti penduduk Langkawi turut menderita akibat kehilangan pendapatan ekoran kehadiran pelancong yang semakin berkurangan.
“Sebagai individu yang bertanggungjawab dalam sektor pelancongan, kami sudah melakukan pelbagai usaha mempromosi Langkawi di negeri lain namun kurang mendapat sambutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
JAMLIAH