Tujuh pendaki sesat ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Tujuh pendaki sesat ditemukan selamat

PASUKAN penyelamat membawa Mohd. Ikwan menggunakan pengusung menuruni Bukit Balik Hidung di Hulu Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Tujuh lelaki yang sesat selepas pertama kali mendaki Bukit Balik Hidung di Kampung Paya Besar, di sini semalam ditemukan selamat.

Kesemua mangsa yang berusia 17 hingga 29 tahun itu dijumpai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan orang awam di dua lokasi berbeza iaitu di kawasan hutan serta puncak bukit kira-kira pukul 8.30 malam.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka, Mohd. Ikwan Mohd. Nor, 29, dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu kerana mengalami kekejangan otot dan keletihan.

Kesemua mangsa dikatakan memulakan pendakian pada pukul 5 petang dan bergerak turun dari puncak bukit secara berasingan kira-kira pukul 6.15 petang.

Seorang mangsa, Mohammad Saiful Nizam Rusli, 17, berkata, dia bersama dua rakan lain turun  selang beberapa minit selepas empat lagi rakan mereka, namun hanya menyedari tersesat apabila berulang kali melalui lokasi sama.

“Memandangkan hari sudah hampir gelap, jadi kami ambil keputusan kembali ke puncak 10 minit kemudian.

“Dalam masa sama saya dapat tahu melalui WhatsApp, empat rakan lain turut sesat dan kejadian itu telah dimaklumkan kepada abangnya untuk menghubungi pasukan penyelamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Sementara itu, Ketua Operasi dari BBP Kuala Berang, Mohd. Salleh Abdullah berkata, pihaknya dengan kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.07 malam. 

Katanya, operasi mencari mangsa turut dibantu 15 orang awam termasuk jawatankuasa pengelola Bukit Balik Hidung dengan jarak pendakian dari jalan utama kira-kira tiga kilometer.

“Pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan dan ketika ditemui salah seorang mangsa didapati mengalami kekejangan otot dan dibawa turun menggunakan pengusung,” katanya. 

Bukit Balik Hidung yang berketinggian 131 meter mulai menjadi tumpuan pengunjung sejak bulan lalu sebagai destinasi pendakian santai di samping berpeluang menyaksikan panorama indah. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya