Penunjuk perasaan sengaja cetus rusuhan - Utusan Malaysia

Penunjuk perasaan sengaja cetus rusuhan

Penunjuk perasaan membaling botol air dan batu ke arah pasukan keselamatan bagi mencetuskan rusuhan di Jakarta, Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Demonstrasi bantahan Rang Undang-Undang (RUU) Cipta Kerja yang berlaku di Jakarta semalam sekali lagi bertukar ganas menyaksikan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Jakarta Post melaporkan, sejumlah penunjuk perasaan membaling botol dan batu ke arah pasukan keselamatan berhampiran Monumen Arjuna Wiwaha di Jakarta Pusat.

Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas penunjuk perasaan dari Front Pembela Islam (FPI), Gerakan Nasional Pengawal Fatwa (GNPF) dan kumpulan 212 Alumni Brotherhood mula bersurai.

Terdahulu, Ketua Polis Jakarta Pusat, Heru Novianto meminta semua penunjuk perasaan supaya terus terkawal dan tidak melakukan sebarang perkara di luar kawal.

“Demonstrasi yang dilakukan adalah protes aman dan kini sudah berakhir, diminta semua peserta pulang ke tempat masing-masing tanpa melakukan sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

Namun, ada segelintir penunjuk perasaan yang enggan bersurai dan pertempuran tercetus apabila mereka mula membaling botol air dan batu ke arah pasukan keselamatan.

Sebagai tindak balas, pasukan keselamatan menyembur gas pemedih mata.

Selain itu, rusuhan juga dilaporkan berlaku berhampiran kawasan Tugu Tani di Jakarta Pusat pada petang semalam menyaksikan penunjuk perasaan membakar objek di tengah jalan utama.

Ketua Polis Jakarta, Nana Sudjana memaklumkan pasukan polis menahan kira-kira 500 penunjuk perasaan yang didakwa cuba menimbulkan provokasi untuk mencetuskan
rusuhan.

“Dianggarkan 600 penunjuk perasaan cuba mencetuskan ketegangan dalam demonstrasi yang dilakukan.

“Pasukan polis cuba bertahan ketika dibaling batu oleh penunjuk perasaan, namun keadaan mula menjadi tidak terkawal menyebabkan pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata untuk meredakan keadaan,” ujarnya.

Sebelum itu, ribuan penunjuk perasaan berhimpun dan berarak di Gambir, Jakarta Pusat sambil membaca doa dan mendesak supaya kerajaan menarik semula RUU Cipta Kerja.

Penunjuk perasaan turut menggesa Presiden Joko Widodo (Jokowi) meletak jawatan kerana gagal berkhidmat dengan baik.

Dalam pada itu, kira-kira 12,000 anggota polis dan tentera bersiap siaga mengawal keselamatan penduduk di sekitar Jakarta.

Sebanyak 650 anggota keselamatan turut ditempatkan di Tugu Tani bagi mengelak keadaan menjadi tidak terkawal, selain beberapa perkhidmatan pengangkutan awam dihentikan buat sementara waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya