Lelaki lakukan aksi berbahaya direman - Utusan Malaysia

Lelaki lakukan aksi berbahaya direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lelaki yang melakukan aksi merbahaya ketika menunggang motosikal di Jalan Kuching, kelmarin akhirnya diberkas polis.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.45 malam tadi selepas hadir serah diri di Balai Polis Trafik Tun HS Lee.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Keputusan ujian saringan berkenaan mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zulkefly, suspek akan dipohon reman hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Semalam, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang menunggang motosikal menggunakan kaki pada pemegang motosikal di Jalan Kuching.

Terdahulu, aksi lelaki terbabit yang menunggang motosikal menggunakan kaki pada pemegang motosikal tular dalam media sosial.

Menerusi video berdurasi 41 saat itu memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal secara berbahaya dengan meletakkan kedua-dua belah kaki di pemegang motosikal sambil kedua-dua belah tangannya sedang memegang bungkusan air.

Video berkenaan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penunggang motosikal berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya