MELAKA: Persatuan Hoki Melaka akan menghidupkan semula Liga Hoki Melaka yang beberapa tahun kebelakangan ini tidak diadakan sebagai usaha melonjakkan semula pasukan negeri menduduki ranking teratas di Malaysia.
Presiden baharu Persatuan Hoki Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, mesyuarat mengenai penganjuran liga bakal diadakan dalam masa terdekat dan ia dijangka dianjurkan pada Julai atau Ogos ini.
Menurutnya, kejohanan itu kali terakhir diadakan pada 2018 dan penganjuran tahun ini akan melibatkan pasukan sekolah, remaja dan kelab.
“Ini adalah antara usaha awal setelah saya yang dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Hoki Melaka, hari ini.
“Saya lihat perlunya diadakan semula Liga Hoki Melaka kerana kita perlu banyak perlawanan dalam usaha mencari lebih ramai pemain muda yang berkaliber untuk diketengahkan.
“Saya jangka liga ini akan diadakan pada Julai atau Ogos ini, saya akan mendapatkan nasihat daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), macam mana kita hendak anjurkan serta tarikh yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Hoki Melaka Ke-24 dirasmikan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Rais yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka dipilih sebulat suara sebagai presiden Persatuan Hoki Melaka menggantikan Habibul Ajmi Manggar.
Turut terpilih ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman memegang jawatan timbalan presiden.
Bagi jawatan naib presiden, ia disandang Azrul Effendy Bistaman, Mazlan Mohd. Said, Shamsulharul Anuar, Borhan Mustapa dan Rogayah Mohamad manakala Francis Leong kekal sebagai setiausaha kehormat.
Tambah Rais, Stadium Hoki Bukit Serindit akan dinaik taraf melibatkan kos sebanyak RM5 juta yang telah diluluskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf stadium termasuk penggantian permukaan padang serta beberapa infrastruktur bakal dilaksanakan tidak lama lagi. – UTUSAN










