Konfederasi Hoki terima banyak permohonan jurulatih luar negara

Konfederasi Hoki terima banyak permohonan jurulatih luar negara

SUBAHAN Kamal bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Hoki Melaka Ke-24 di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menerima banyak permohonan jawatan sebagai ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan yang datangnya dari luar negara berbanding dalam negara, setelah tarikh tutupnya berakhir semalam.

Bagaimanapun, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal tidak menyatakan jumlah kerana semua permohonan kini berada di tangan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah.

Subahan berkata, sambutan tinggi melibatkan pemohon luar negara adalah berdasarkan potensi pasukan yang sudah mempunyai ramai pemain berpengalaman serta mampu pergi jauh.

Katanya, rata-rata pemohon mempunyai kelayakan tinggi dan cukup berpengalaman menjadi jurulatih di beberapa buah negara.

“Saya memang tidak tahu berapa banyak permohonan jawatan ketua jurulatih yang telah diterima MHC kerana sebagai Presiden saya hendak berkecuali.

“Walaupun kata putus datang daripada Lembaga Eksekutif yang dipengerusikan saya, tetapi saya tidak mahu orang kata saya pilih kasih, jadi biarlah bidang kuasa kejurulatihan untuk menilai dan memilih.

“Saya difahamkan mereka akan mengadakan mesyuarat pada 20 Februari ini dan akan melihat semua permohonan dari luar negara dan dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Hoki Melaka Ke-24 di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Subahan, Jawatankuasa Kejurulatihan MHC akan menyenarai pendek calon-calon dirasakan layak diberi pertimbangan serta melalui proses temu duga, sebelum dibawa ke mesyuarat Lembaga Eksekutif.

“Kita perlu melantik dengan cepat ketua jurulatih yang baharu bagi mengisi tempat A. Arulselvaraj, kalau boleh sebelum puasa ini.

“Ia perlu dilakukan segera bagi membolehkan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu mempunyai masa panjang membentuk skuad yang mantap menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah yang dijadual pada 4 Mei ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN