LOS ANGELES: Rory McIlroy bertekad menghapuskan ‘pukulan mahal’ yang menjejaskan cabarannya di Pebble Beach ketika memburu kejuaraan sulung Genesis Invitational di Riviera Country Club minggu ini.
Pemain Ireland Utara yang menghuni ranking kedua dunia itu mahu memastikan rentak birdie diteruskan tanpa dicemari kesilapan besar selepas menamatkan saingan di Pebble Beach dengan tiga bogey berganda dan satu bogey tiga pukulan yang memadam peluangnya mencabar kejuaraan.
“Saya melakukan beberapa pukulan yang membawa angka besar sehingga menghalang saya berada dalam kelompok pencabar pada hari terakhir, namun saya melihat masih banyak perkara positif yang boleh dijadikan dorongan untuk minggu ini.
“Riviera menawarkan cabaran berbeza, tetapi hakikat saya banyak melakukan pukulan baik, menghampiri lubang dan menyempurnakan putt dengan baik memberi keyakinan bukan sahaja untuk minggu ini malah bagi kejohanan seterusnya,” kata McIlroy.
McIlroy turut mengakui beliau masih dalam proses mendapatkan rentak terbaik pada awal musim selepas sekadar terikat di kedudukan ke-14 dalam penampilan pertamanya di Jelajah PGA musim ini.
Sementara itu, pemain No.1 dunia, Scottie Scheffler, juga memburu gelaran pertamanya di Riviera meskipun sudah enam kali beraksi di lapangan bersejarah itu yang meraikan ulang tahun ke-100 tahun ini.
“Keindahan golf ialah kita sentiasa berpeluang bermula semula pada minggu berikutnya dan kembali bersaing tanpa dibebani keputusan lalu.
“Saya merasakan lapangan ini boleh menjadi antara yang paling mencabar dalam jelajah, namun jika anda melaksanakan setiap pukulan dengan tepat, anda pasti akan menerima ganjarannya,” kata Scheffler. – AGENSI










