PETALING JAYA: Pemain boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah mengakui tunjuk ajar daripada pemain senior banyak membantunya untuk bergelar juara dunia di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024.
Menurutnya, kejayaan yang manis itu hasil daripada pembelajaran dan perkongsian ilmu dari pemain berpengalaman negara selain turut membantu barisan jurulatihnya.
“Sebelum saya ke kejohanan ini, saya mengambil ilmu sebanyak yang saya boleh daripada mereka (pemain senior). Saya hanya mengikuti segala arahan mereka dan berfikir agar semua berjalan dengan lancar.
“Mereka pemain yang lebih berpengalaman jadi segala tunjuk ajar mereka amat saya hargai. Ya, sememangnya kejayaan saya adalah hasil bantuan daripada mereka selama ini.
“Akhirnya saya berjaya mengatasi cabaran terbesar di kejohanan terbabit. Mengalahkan juara serta naib juara dunia adalah satu kejayaan terbesar buat diri saya,” katanya.
Terdahulu, pemain berusia 23 tahun itu mencipta sejarah Malaysia selepas merangkul pingat emas menerusi acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, minggu lalu.
Nor Farah berjaya menyingkirkan pemain dari Malta, Connie Nixon menerusi kemenangan straight-set 6-2, 6-3 untuk merangkul gelaran dunia buat pertama kali dalam penampilan sulungnya.
Beliau turut membawa pulang pingat gangsa menerusi acara berpasangan campuran bersama Izzat Shameer Dzulkeple.-UTUSAN










