MIAMI: Cape Verde sekali lagi mencuri tumpuan apabila bangkit mengikat Uruguay 2-2 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026 di Stadium Miami, semalam, sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati.
Selepas mengejutkan ramai pihak dengan keputusan seri menentang Sepanyol dalam aksi pembukaan, wakil Afrika itu membuktikan prestasi tersebut bukan sekadar nasib apabila berjaya mengutip satu lagi mata berharga berdepan juara dunia dua kali, Uruguay.
Cape Verde terlebih dahulu mengejutkan lawan menerusi jaringan Kevin Pina pada minit ke-21 hasil sepakan percuma jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol berpengalaman Uruguay, Fernando Muslera.
Bagaimanapun, Uruguay bangkit sebelum rehat apabila Maximiliano Araujo menyamakan kedudukan pada minit ke-44 sebelum Agustin Canobbio meledak gol kedua dalam masa kecederaan separuh masa pertama untuk meletakkan pasukannya di depan.

Skuad kendalian Marcelo Bielsa itu dilihat berada di landasan tepat untuk meraih kemenangan pertama kejohanan, namun kesilapan Muslera pada minit ke-61 mengubah segalanya.
Penjaga gol berusia 40 tahun itu keluar terlalu jauh dari kawasan gawang, sekali gus memberi ruang kepada pemain gantian Cape Verde, Helio Varela untuk memanfaatkan peluang tersebut untuk menjaringkan gol penyamaan.
Uruguay cuba mencari gol kemenangan pada baki perlawanan, namun beberapa peluang yang terhasil gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Federico Valverde hampir muncul penyelamat pasukan Amerika Selatan itu, tetapi sepakan percumanya pada penghujung perlawanan melambung tinggi melepasi palang.
Keputusan tersebut menyaksikan Cape Verde mengumpul dua mata daripada dua perlawanan dan kini berada dalam kedudukan terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Mereka hanya memerlukan kemenangan ke atas Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan bagi mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik.
Sebaliknya, Uruguay kini berada dalam tekanan hebat selepas sekadar mencatat dua keputusan seri berturut-turut, termasuk terikat 1-1 menentang Arab Saudi sebelum ini.
Malah, mereka mungkin perlu menewaskan juara Eropah, Sepanyol dalam perlawanan terakhir kumpulan untuk mengelakkan penyingkiran awal yang memalukan buat kali kedua berturut-turut di pentas Piala Dunia. – AFP










