LONDON: Arsenal melangkah ke pentas final Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh dua dekad selepas menewaskan Atletico Madrid 1-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Emirates, semalam.
Gol tunggal Bukayo Saka pada minit ke-44 sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Mikel Arteta mara dengan agregat 2-1, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Madrid minggu lalu.
Kejayaan itu menyaksikan The Gunners bakal membuat penampilan kedua dalam sejarah final Liga Juara-Juara selepas kali terakhir melakukannya pada 2006 sebelum tewas 1-2 kepada Barcelona.
Pada aksi di hadapan penyokong sendiri, Arsenal bermula garang namun hampir dikejutkan pelawat menerusi percubaan Julian Alvarez dan Giuliano Simeone dalam 15 minit pertama permainan.
Bagaimanapun, tuan rumah berjaya menguasai permainan sebelum memperoleh gol kemenangan hasil gerakan kemas melibatkan Viktor Gyokeres dan Leandro Trossard yang membuka ruang kepada Saka untuk menolak masuk bola dari jarak dekat.
Bersambung babak kedua, Atletico meningkatkan tekanan, namun kekentalan benteng Arsenal yang diketuai Gabriel Magalhaes berjaya mengekang asakan lawan.
Malah, penjaga gol David Raya turut cemerlang apabila menafikan percubaan berbahaya Antoine Griezmann.c dengan final dijadual berlangsung di Budapest pada 30 Mei ini.
Kejayaan mara ke final ini turut menyuntik semangat Arsenal yang kini berada di landasan terbaik untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus berpeluang melakar sejarah meraih kejuaraan berganda musim ini. – AFP










