MANCHESTER: Musim buruk Manchester United berterusan apabila tumbang 2-3 di tempat sendiri kepada Galatasaray dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah awal pagi tadi.
Bintang tengah United, Casemiro dibuang padang pada minit ke-77, manakala Mauro Icardi pula menyempurnakan sepakan penalti Galatasaray di minit ke-81 untuk melengkapkan drama di Old Trafford.
Kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan kelab elit Eropah itu meletakkan Red Devils di tangga tercorot Kumpulan A, dan berisiko tersingkir awal dari pertandingan.
Turun dengan cuba melupakan kekalahan keempat mereka dalam Liga Perdana Inggeris musim ini kepada Crystal Palace, Sabtu lalu, United bermula baik apabila mendahului pada minit ke-17 menerusi penyerang Denmark, Rasmus Hojlund.
Kelebihan 1-0 bertahan kurang daripada enam minit selepas bekas bintang United, Wilfried Zaha menyamakan kedudukan buat Galatasaray pada minit ke-23.

Selepas rehat, Hojlund cemerlang memanfaatkan kesilapan pertahanan Galatasaray, Davinson Sanchez yang tergelincir untuk meletakkan United kembali di hadapan pada minit ke-67.
Begitupun kelebihan itu sekali lagi tidak bertahan lama apabila Kerem Akturkoglu menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Pada minit ke-77, keadaan menjadi buruk buat United apabila kesilapan penjaga gol, Andre Onana memaksa pemain tengah Brazil, Casemiro menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan dan dia dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.
Icardi menyempurnakan sepakan penalti sembilan minit sebelum tamat permainan untuk menghantar Galatasaray ke tangga kedua kumpulan dengan empat mata.

Bayern Munich yang mengalahkan FC Copenhagen 2-1 menghuni tangga teratas dengan enam mata maksimum.
“Lawan kami mungkin tidak begitu berjaya hari ini tetapi mereka adalah pasukan yang bagus.
“Kami telah menewaskan lawan yang hebat. Ia adalah minggu yang besar untuk bola sepak Turki dan sudah tentu untuk kami,” kata jurulatih Galatasaray, Okan Buruk.
Jurulatih United, Erik ten Hag mengakui, kesilapan mental punca pasukannya kalah kepada lawan dari Turki itu.
“Kesilapan mental yang kami lakukan, anda tidak boleh membenarkannya pada tahap ini. Anda akan dihukum. Ini sukar dikawal.
“Apa pun, kami harus bersatu menghadapi situasi sukar ini. Kami mengharapkan dapat melakukan lebih banyak lagi bersama-sama,” katanya. – AGENSI