PETALING JAYA: Lupakan kekecewaan lalu dan bangkit lakar kejutan dalam Kelayakan Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) di Chonburi, Thailand, minggu depan.
Itu cabaran yang dilontarkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada skuad B-23 negara ketika bertemu barisan pemain serta pegawai skuad Harimau Muda, hari ini.
Hamidin berkata, pemain-pemain negara perlu menunjukkan peningkatan, selain tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dalam Kumpulan H yang terdiri daripada tuan rumah, Thailand, Bangladesh dan Filipina.
“Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus. Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
“Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi, Thailand,” kata Hamidin.
Pengendali Malaysia B-23, E. Elavarasan memanggil 25 pemain untuk kem latihan pusat yang bermula hari ini sebagai persiapan menghadapi cabaran Kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Sebanyak 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan bersama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi pada Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Doha tahun depan.
Malaysia akan memulakan saingan menentang Bangladesh pada 6 September, diikuti Filipina (9 September) sebelum berdepan Thailand pada 12 September.
Minggu lalu Harimau Muda menamatkan Kejohanan AFF B-23 di tempat keempat, sekali gus gagal mencapai sasaran final yang ditetapkan barisan pengurusan. – UTUSAN ONLINE