KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) akan beraksi tanpa sebarang tekanan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.
Ketua Jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner berkata, skuad kendaliannya lebih selesa turun selaku pasukan bukan pilihan berdepan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.
Namun pengendali kelahiran Croatia itu tetap optimis TFC mampu memberi saingan kepada JDT di tempat lawan sekaligus merangkul Piala Sumbangsih buat kali pertama sejak 2001.
“Musim lalu TFC mengharungi kempen yang cemerlang dan antara pencapaian terbaik dalam sejarah dengan bergelar naib juara Liga Super dan Piala FA selain mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
“Bertemu JDT sentiasa sukar lebih-lebih lagi aksi pembuka tirai tetapi kami mahu membuktikan kemampuan dengan permainan terbaik walaupun ketiadaan beberapa pemain utama.

“Sudah tentu sebagai jurulatih baharu ada sasaran untuk saya, namun ia lumrah dan pemain-pemain tidak perlu tertekan sepanjang 90 minit,” ujarnya ketika ditemui pada sesi latihan kelmarin.
Menurut Steinbruckner, dia sudah memiliki bayangan kesebelasan utama tanpa khidmat Mohd. Faiz Nasir dan Habib Haroon akibat kecederaan serta pemain pinjaman JDT, Liridon Krasniqi.
Tambahnya, barisan pemain TFC perlu mempamerkan disiplin ketika bertahan untuk mengelak dihukum skuad Harimau Selatan yang diketuai penyerang berbisa, Bergson da Silva.
“Hanya sedikit kesilapan atau kelekaan akan membawa pada kepada TFC namun dalam bola sepak, macam-macam boleh terjadi dan kami optimis mampu mencipta kejutan,” katanya. – UTUSAN ONLINE