KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dirundung malang apabila disaman oleh pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman kerana gagal melunaskan tunggakan hutang berjumlah RM3.93 juta.
Perkara tersebut didedahkan oleh Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham di Facebook rasminya hari ini.
Zamsaham awalnya memilih untuk ‘mengunci’ mulut, namun selepas diajukan oleh orang ramai beliau terpaksa mendedahkan perkara tersebut.
“Saya sebenarnya nak diamkan sahaja…tapi selepas ramai yang tanya maka memang benar saya saman Kafa kerana gagal membayar hutang sebanyak RM3.93 juta.
“Asalnya hutang RM3.8 juta, namun naik sebab Kafa minta tambahan pinjaman. Tetapi setakat hari ini satu sen pun belum pulang ke saya,” katanya.
Zamsaham sebelum ini dilaporkan membayar RM6.8 juta ketika proses mengambil alih pasukan TRW daripada Kafa pada September 2020.
Menurut laporan, jumlah itu membabitkan RM3 juta bagi pembelian Kelantan FC dan RM3.8 juta lagi adalah pinjaman kepada Kafa bagi menyelesaikan hutang kepada pemain dan agensi tertentu. – UTUSAN ONLINE