PETALING JAYA: Penyerang Thailand, Suphanat Mueanta menegaskan, pasukannya tiada pilihan kecuali mengalahkan Malaysia dalam aksi kedua Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Tashkent hari ini jika mahu menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.
Tegasnya, seri 2-2 dengan Vietnam pada perlawanan pembukaan meletakkan mereka dalam situasi sukar, apatah lagi lawan terakhir yang bakal ditentang dalam Kumpulan C adalah juara bertahan, Korea Selatan.
Khamis lalu, Korea Selatan membuktikan mengapa mereka menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan apabila membenam Malaysia 4-1.
Dalam pertemuan menentang Vietnam, tandukan Suphanat pada waktu kecederaan menyelamatkan Thailand dan membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua kali.

Kata penyerang Buriram United itu berusia 19 tahun itu, pasukannya bernasib baik mengutip satu mata dan mereka tidak boleh mengulangi kesilapan apabila berdepan Harimau Malaya B-23.
“Ketika ini, kami hanya ada satu pilihan. Jika mahu layak (dari peringkat kumpulan), kami perlu menewaskan Malaysia,” katanya kepada Football5Star.com.
Sementara itu, pemain tengah, Thanawat Suengchietthawon mengingatkan rakan sepasukannya kekal berdisiplin jika tidak mahu tidak dihukum Malaysia.
“Kami mesti mempamer permainan sebenar dan lebih berdisiplin.
“Menjelang aksi menentang Malaysia, perkara paling penting ialah memulihkan badan secepat mungkin,” katanya.