Tuchel ‘sakit hati’ pengadil, Ancelotti gelak besar

Tuchel ‘sakit hati’ pengadil gelak besar dengan Ancelotti

REAKSI Thomas Tuchel (kiri) pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di antara Chelsea menentang Real Madrid di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Thomas Tuchel berisiko mengundang tindakan badan induk bola sepak Eropah (UEFA) selepas mendakwa pengadil tidak mempunyai ‘keberanian’ membuat keputusan besar ketika Chelsea kalah kepada Real Madrid dalam aksi penuh dramatik semalam.

Pengurus Blues itu malah mengakui, dia sudah menjangkakan kesan akibat mengkritik pengadil Poland, Szymon Marciniak susulan kekalahan secara agregat 4-5 pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Selepas kalah 1-3 di London minggu lalu, Chelsea mempamer kebangkitan hebat di Madrid dan mendahului 3-0 selepas 75 minit permainan menerusi Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner.

Jaringan Rodrygo, 10 minit sebelum tamat permainan mengheret perlawanan ke masa tambahan dan Karim Benzema muncul pemusnah Blues apabila menanduk gol kemenangan pada minit ke-96.

Chelsea menumbangkan Madrid 3-2 di Santiago Bernabeu, namun Benzema menghancurkan impian Blues untuk mempertahankan kejuaraan, situasi yang pastinya menyebabkan Tuchel dan anak-anak buahnya cukup beremosi.

PEMAIN Chelsea terlalu kecewa selepas disingkirkan oleh Real Madrid pada suku akhir Liga Juara-Juara di Madrid semalam. – AFP

Tuchel mengkritik pengadil Marciniak kerana ‘ketawa dan tersenyum’ bersama bos Real, Carlo Ancelotti selepas perlawanan tamat.

“Saya kecewa pengadil berseronok dengan rakan sekerja saya, Carlo Ancelotti.

“Saya tahu Carlo seorang yang budiman dan baik tetapi apabila saya mahu pergi dan mengucapkan terima kasih, saya melihat dia (pengadil) tersenyum dan ketawa dengan kuat bersama jurulatih lawan.

“Saya rasa ini adalah masa yang paling teruk untuk melakukan perkara itu, selepas 126 minit dengan satu pasukan memberikan hati dan keinginan mereka, berjuang hingga ke titisan terakhir.

“Selepas itu anda pergi sebagai jurulatih dan lihat pengadil ketawa dan tersenyum bersama jurulatih lain. Saya fikir ia adalah masa yang sangat-sangat teruk,” kata Tuchel.

KARIM Benzema meledak gol kemenangan Real Madrid ketika menyingkirkan Chelsea pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, Madrid semalam.

Ditanya sama ada dia kecewa dengan keputusan VAR untuk menolak jaringan Alonso selepas bola terkena tangan, Tuchel berkata, perkara itu bukan terjadi pada perlawanan itu sahaja.

“Bukan hari ini sahaja, ia seperti beberapa kali berlaku tetapi sekarang mungkin saya mendapat masalah.

“Jika anda bermain menentang Real Madrid, anda mungkin tidak boleh mengharapkan semua orang mempunyai keberanian. Sama seperti kami ketika pusingan pertama dan hari ini juga,” katanya – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN