PENGALAMAN pertamanya menyambut Aidilfitri di Malaysia masih segar dalam ingatan walaupun berlaku semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kira-kira enam tahun lalu.
Ketika itu, Amina Usman Sabo Ago, 35, yang merupakan pelajar doktor falsafah (PhD) dari Nigeria menghadiri sambutan raya di peringkat kampusnya di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Terengganu.
Suasananya mungkin serba sederhana, tetapi sudah cukup untuk membangkitkan semangat Syawal bagi pelajar yang julung kali berada di perantauan.
Apatah lagi, pelbagai juadah tradisi disajikan, sekali gus menambahkan kemeriahan sambutan.
Sejak itu, dia mengakui jatuh cinta dengan nasi dagang dan keropok lekor.
Malah, kedua-dua hidangan itu kini menjadi menu wajib yang mesti dinikmati pada pagi raya.
“Di negara asal, antara juadah raya yang popular ialah tuwo (bubur) dan suya (daging panggang).
“Pertama kali makan keropok lekor, saya sedikit terkejut dengan tekstur kenyal dan aroma ikan yang kuat, tetapi lama-kelamaan saya mula menggemarinya
“Begitu juga dengan nasi dagang, gabungan rasanya yang unik membuatkan saya tidak jemu menikmatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Malah, dia turut menggemari aneka kuih-muih yang enak seperti ketayap dan seri muka.
Justeru, setiap tahun Amina tidak melepaskan peluang berkunjung ke kediaman rakan atau ke rumah terbuka bagi menikmati hidangan tradisional sambil meneroka budaya tempatan.
Dengan cara itu, sekurang-kurangnya, dia dapat mengubati kerinduan terhadap keluarga dan kampung halaman.
“Walaupun jauh daripada keluarga tetapi keramahan masyarakat Terengganu menjemput saya ke rumah mereka membuatkan saya sentiasa rasa dihargai setiap kali raya.
“Mereka saling berkongsi cerita, di samping mengajar cara memakai selendang songket dan menyediakan hidangan khas untuk saya,” katanya.
Terdahulu, dia tertarik untuk menyambung pengajian di Unisza selepas mendengar pengalaman seorang pelajar antarabangsa ketika menghadiri Persidangan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia.
Dia kini sedang menyiapkan tesis dalam bidang Keusahawanan Wanita di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, universiti itu.

Perarakan Durbar
Menurut Amina, sambutan Syawal di tempat tinggalnya di Nasarawa, bahagian utara Nigeria berlangsung penuh meriah saban tahun.
Katanya, kemuncak sambutan ialah perarakan tradisional dikenali sebagai Durbar yang diadakan sejurus selepas solat raya menuju ke pusat bandar.
Aktiviti itu diketuai oleh Emir (pemimpin) bersama pengikutnya yang menunggang kuda dihias indah.
“Jumlah penduduk di sana yang ramai menyebabkan perarakan itu berlangsung dalam skala besar dengan iringan muzik tradisional dan sorakan masyarakat.
“Ia bukan sahaja melambangkan warisan budaya, malah menjadi simbol perpaduan dan kemeriahan sambutan Aidilfitri,” katanya.
Selain itu, mereka turut berzikir secara beramai-ramai ketika berkunjung ke setiap rumah jiran dan saudara.

Kekangan bahasa, budaya
Di sebalik keseronokan menyambut Aidilfitri di Malaysia, hakikatnya Amina tetap berdepan cabaran dari segi bahasa.
Kadangkala sukar baginya berinteraksi dengan keluarga tuan rumah atau ketika berada di pasar disebabkan dialek dan cara berkomunikasi.
“Selain bahasa, wujud juga perbezaan dari segi budaya, adat berpakaian dan interaksi sosial.
“Semua ini memerlukan masa untuk golongan seperti saya menyesuaikan diri,” katanya.
Ketika ditanya rutin hari raya pertamanya, Amina lazimnya bangun awal untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri diikuti dengan aktiviti ziarah.
Menjelang tengah hari, barulah dia membuat panggilan video dengan keluarga sebelum kembali menghabiskan masa bersama rakan-rakan.

Teruja terima duit raya
Walaupun sudah dewasa, Amina berkongsi keterujaannya menerima duit raya buat kali pertama pada 2020.
Baginya, tradisi itu bukan sekadar soal wang, tetapi menjadi medium untuk mengeratkan silaturahim dan memupuk sifat pemurah.
“Saya pernah menerima duit raya daripada tuan rumah dan rakan-rakan sebagai tanda penghargaan dan kemesraan.
“Kini, saya turut mengikuti jejak langkah sama dengan memberikan duit raya kepada kanak-kanak,” katanya yang bakal pulang ke Nigeria pada September depan.
Di Nigeria, aktiviti bersedekah seumpama itu turut menjadi amalan semasa Aidilfitri.
Katanya, kanak-kanak diberikan hadiah dan pakaian baharu, selain mengeluarkan zakat pada golongan memerlukan.











